Dua lelaki didenda RM9,000 curi lembu

Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman denda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah mencuri lembu milik orang lain bulan lalu.
Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman denda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah mencuri lembu milik orang lain bulan lalu.
A
A
A

JEMPOL - Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman denda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah mencuri lembu milik orang lain bulan lalu.

Tertuduh Tengku Adam Azizi Tengku Ismail, 45, dan Mohd Hairulhisam Md Noh, 42, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.

Majistret turut menetapkan tiga bulan penjara sekiranya kedua-dua tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan bersama, mereka didapati telah mencuri 12 ekor lembu milik seorang lelaki kira-kira jam 3 petang di kebun sawit Felda Pasoh 3, Batu Kikir pada 27 Januari lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian boleh dihukum penjara dan denda atau sebat.

Dalam pada itu, Tengku Adam turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan memindahkan harta curi iaitu enam ekor lembu milik seorang lelaki dengan menjual kepada pembeli.

Perbuatan itu dilakukan di kandang lembu belakang rumah di Kampung Serting Tengah, kira-kira jam 5 petang, 29 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh dijatuhi hukuman denda RM4,000 dan jika gagal bayar dua bulan penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,Farahidah Zool Beri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes seorang pemilik lembu mendapati 12 ekor lembu miliknya hilang sebelum lima lembu miliknya berada dalam sebuah kandang di belakang rumah milik salah seorang tertuduh.

Selain itu terdapat seorang saksi yang melihat perbuatan seorang tertuduh menyumpit 12 ekor lembu sebelum kesemua lembu berkenaan dimasukkan ke dalam sebuah lori.

Lima ekor lembu di dalam kandang dikenal pasti kepunyaan pemilik berdasarkan kesan lubang pada telinga lembu, seekor lembu terlepas dari kandang dan enam ekor lagi dijual kepada pembeli sehari selepas mencuri lembu berkenaan.

Kejadian itu menyebabkan pemilik lembu mengalami kerugian RM35,000.

Media sebelum ini melaporkan,polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri lembu di daerah ini dengan tertangkapnya dua individu.