Penganggur didenda RM4,500 tampar dua lelaki, rosak telefon bimbit

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur yang videonya tular kerana menampar dua lelaki dan merosakkan telefon bimbit mereka di kawasan tempat letak kereta, dijatuhi hukuman denda RM4,500 oleh dua Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Majistret S Arunjothy menjatuhkan hukuman denda RM1,800 atau 14 hari penjara terhadap Ong Hock Shin, 54, selepas dia mengaku bersalah mencederakan Tan Huan Jin, 21, di Taman Danau Kota, Setapak di sini pada 6 petang, 14 Oktober lepas.

Hock Shin turut didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara oleh Majistret Illi Marisqa Khalizan kerana mencederakan Lim Wei Chuan, 20, dan melakukan khianat dengan merosakkan dua telefon bimbit milik mangsa pada tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan mencederakan, Hock Shin dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM2,000 manakala tuduhan khianat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi dan Zuhairi Osman masing-masing memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Peguam Ahmad Ikram yang mewakili Hock Shinmemohon supaya hukuman penjara tidak dikenakan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki menampar dan melemparkan telefon bimbit rakannya akibat perselisihan faham antara mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: