Pekerja kurier ditahan belasah teman wanita kerana hutang

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

AMPANG - Seorang pekerja kurier ditahan kerana disyaki memukul teman wanitanya menggunakan kayu penggiling adunan tepung sehingga cedera di sebuah pangsapuri di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, tangkapan itu, susulan laporan pegawai perubatan Hospital Selayang selepas menerima seorang pesakit wanita yang cedera akibat dipukul pada jam 8 pagi, 30 Januari lalu.

"Mangsa berusia 29 tahun cedera di kepala dan kedua-dua belah tangan dalam kejadian itu.

"Hasil siasatan, kita berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di Kampung Baru, Ampang pada jam 5 petang, semalam (Isnin)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Azam berkata, pihaknya merampas satu kayu penggiling adunan tepung yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu.

"Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau atas kesalahan dadah. Keputusan ujian saringan air kencing ke atasnya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati motif kejadian adalah disebabkan perselisihan berkaitan isu hutang antara mangsa dan suspek.

"Suspek direman empat hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: