Lembaga Pengampunan perlu bentang alasan bertulis - Hassan

Hassan - Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Hassan - Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Pengampunan perlu membentangkan alasan bertulis bagi memberi penjelasan berhubung keputusan permohonan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan munasabah itu perlu dilakukan supaya rakyat berpuas hati dan bersedia menghormati keputusan berkenaan.

“Jadi 33 juta rakyat Malaysia malah dunia antarabangsa berhak untuk meneliti dan menyemak alasan-alasan keputusan Lembaga Pengampunan Diraja terhadap Najib.

“Tidak munasabah, malah menghina rakyat Malaysia jika Lembaga Pengampunan melalui sekretariatnya hanya mengeluarkan kenyataan rasmi sekadar sehelai muka surat yang memutuskan hukuman ke atas Najib dikurangkan dari penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Jumaat, Lembaga Pengampunan mengumumkan untuk membebaskan Najib lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Dalam pada itu, ujar Hassan, pihak berkaitan diminta untuk tidak mengelak daripada membentangkan kepada umum secara bertulis alasan keputusan Lembaga Pengampunan itu dengan helah ia tiada disebut dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Perlu diingat bahawa tidak ada ditulis di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan sabitan bersalah, hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kepada Najib supaya membentangkan alasan penghakimannya secara bertulis kepada umum untuk disemak serta diteliti oleh rakyat dan masyarakat dunia antarabangsa.

“Tetapi Yang Arif Hakim Mahkamah itu dengan berani, telus dan penuh bertanggungjawab telah membentangkan alasan penghakimannya secara bertulis.

Artikel Berkaitan:

“Kemudian apabila Najib merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke Mahkamah Rayuan, maka tiga Hakim Mahkamah Rayuan juga mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa Najib tetap bersalah dan hukuman dikekalkan iaitu 12 tahun penjara dan RM210 juta denda,” ujarnya.

Sementara itu, menurut beliau, Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini bersama-sama Menteri Wilayah Persekutuan, Peguam Negara dan tiga anggota lainnya perlu telus serta berani membentangkan alasan keputusan mereka berhubung permohonan pengampunan Najib.

“Keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 lalu tidak boleh dirayu di mahkamah. Ia juga tidak boleh dibicarakan di mahkamah.

“Tidak seperti keputusan-keputusan kerajaan yang lain boleh dicabar di mahkamah bawah prosiding Semakan Kehakiman.

“Oleh kerana itu demi keadilan, demi ketelusan sesuai dengan prinsip pertanggungjawaban maka rakyat Malaysia 33 juta berhak menuntut Lembaga Pengampunan membentangkan alasan bertulis mereka terhadap keputusan rasmi yang mereka putuskan terhadap permohonan pengampunan oleh Najib,” jelasnya.