Dua rakan tidak mengaku sembunyi wang RM5,000

Dua rakan Wong Jiin Hurng (kiri) dan Chong Wai Kuen (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyembunyikan wang berjumlah RM5,000 yang bukan milik mereka, pada Disember lepas. - Foto Bernama
Dua rakan Wong Jiin Hurng (kiri) dan Chong Wai Kuen (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyembunyikan wang berjumlah RM5,000 yang bukan milik mereka, pada Disember lepas. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan wang RM5,000 yang bukan milik mereka, Disember tahun lepas.

Chong Wai Kuen, 34, dan Wong Jiin Hurng, 23, masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Mahyun Yusof.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan curangnya menyembunyikan wang sebanyak RM5,000 yang dimasukkan Cing Yee Ping, 60, ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas nama Chong Wai Kuen dengan sebab untuk mempercayai bahawa ia bukanlah hak milik tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank cawangan Seremban 2, di sini, pada jam 11.07 pagi, 30 Disember lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mas Syafiqah Mahroob memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM8,000 kepada kedua-dua tertuduh manakala B. Puvarasan yang mewakili Wai Kuen dan peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ng Yunn Yiing yang mewakili Jiin Hurng, dalam rayuan mereka memohon mahkamah supaya jumlah jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Wai Kuen turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal memberi keterangan berkaitan kemasukan duit RM5,000 ke dalam akaun bank miliknya.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Majistret V. Vanita.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa gagal memberi keterangan berkenaan kemasukan wang tunai sebanyak RM5,000 ke dalam akaun bank miliknya dan kesalahan itu didakwa dilakukan di mesin deposit wang tunai (CDM) CIMB Bank cawangan Seremban pada jam 10.47 pagi, 30 Disember lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh manakala tertuduh diwakili Puvarasan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 20 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes. - Bernama