Tak menang tangan hasilkan kuih bulan

Nur Solihah menunjukkan antara kuih bulan yang dijual ketika ditemui di Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu.
Nur Solihah menunjukkan antara kuih bulan yang dijual ketika ditemui di Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kedatangan Tahun Baharu Cina yang akan diraikan tidak lama lagi menjadi sumber rezeki buat seorang pengusaha kuih bulan apabila tempahan kuih tradisional masyarakat Tiong Hua itu meningkat sekali ganda tahun ini.

Nur Solihah Alias, 36 berkata, kuih yang dihasilkan mendapat permintaan tinggi di pasaran dengan tempahan diterima sempena musim perayaan kali ini meningkat hampir 50 peratus.

"Saya bersyukur sebab kuih bulan yang saya hasilkan berjaya memenuhi selera pelanggan. Saya juga sentiasa menjaga kualiti sepanjang proses pembuatannya terutama dari aspek kebersihan.

"Selain itu, saya teruja kerana dapat menyediakan kuih bulan yang halal untuk dinikmati orang Islam dan dalam masa yang sama secara tak langsung dapat menyelami budaya serta warisan masyarakat pelbagai kaum di negara ini," katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Tani Padang Hiliran, di sini baru-baru ini.

Nur Solihah berkata, kebiasaannya dia menghasilkan antara 200 hingga 300 biji kuih bulan setiap minggu dan menjual sendiri di beberapa tapak pasar malam, Payang Walk dan pasar tani sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Nur Solihah melayani pelanggan dari pelbagai kaum yang datang membeli kuih bulan yang dijual di Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu.
Nur Solihah melayani pelanggan dari pelbagai kaum yang datang membeli kuih bulan yang dijual di Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

"Buat masa ini ada beberapa jenis kuih bulan yang mendapat permintaan tinggi antaranya kuih bulan kacang merah, pandan, pes biji teratai, kuning telur masin dan campuran kekacang.

"Kuih ini saya jual pada harga RM12 untuk tiga biji (pandan, biji teratai dan kacang merah) dan RM13 hingga RM15 untuk saiz 100 gram,"ujarnya yang telah lima tahun berniaga kuih tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ibu kepada lima anak itu berkata, dia bersyukur kerana kuih bulan telah menjadi sumber rezeki utama walaupun penghasilannya dilakukan secara kecil-kecilan di rumahnya di Marang.

Menurutnya, dia berhasrat untuk meluaskan lagi perniagaan dengan menyusun strategi lebih teratur melalui pemasaran secara atas talian dan konvensional.

"Rasa seronok berniaga kuih ni sebab dapat sediakan makanan yang diyakini status halal untuk dinikmati oleh orang Islam.

"Saya anggap perniagaan ini sebagai fardu kifayah dan jihad ekonomi untuk umat Islam," ujarnya.