Projek LCS: Representasi bekas pengarah urusan BNS gugur pertuduhan ditolak

Jabatan Peguam Negara menolak representasi Ahmad Ramli untuk menggugurkan tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berkaitan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia. - Gambar hiasan
Jabatan Peguam Negara menolak representasi Ahmad Ramli untuk menggugurkan tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berkaitan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara menolak representasi bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor untuk menggugurkan tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berkaitan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Peguam Alex Tan Chie Sian mewakili Ahmad Ramli memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin bahawa representasi yang dikemuka pada 26 Januari lepas telah ditolak dan pihaknya menerima arahan untuk merayu kepada Peguam Negara berhubung keputusan tersebut.

“Kami mohon agar tarikh perbicaraan pada 7 Mac ditukar kepada sebutan kes bagi membolehkan kami memaklumkan mahkamah mengenai perkembangan rayuan tersebut. Kami juga mohon kehadiran tertuduh dikecualikan pada 7 Mac ini,” katanya.

Suzana membenarkan tarikh perbicaraan pada 7 Mac ditukar kepada sebutan kes manakala perbicaraan pada 21 dan 22 Februari ini dilapangkan selepas Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi tidak membantah permohonan itu.

"Mahkamah mengekalkan tarikh perbicaraan lain yang telah ditetapkan sebelum ini dan membenarkan kehadiran tertuduh pada sebutan kes 7 Mac ini dikecualikan atas faktor kesihatan," katanya.

Mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan kes itu pada 21 dan 22 Februari, 7 Mac, 29 dan 30 April serta 15 dan 16 Mei.

Ahmad Ramli, 80, didakwa melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited, Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di tingkat 17, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan antara 26 Julai 2010 dan 25 Mac 2011.

Beliau juga didakwa melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation, The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, Chulia Street, OCBC Centre, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di lokasi sama antara 19 April 2011 dan 4 Mei 2011.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan ketiga, Ahmad Ramli berdepan dakwaan meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd, Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapura di tempat sama antara 28 Oktober 2010 dan 22 November 2010.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama