Sasar lapan daripada 10 isi rumah ada akses ke stesen transit

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kiri) merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menyaksikan Dr Zaliha (kiri) menyempurnakan majlis perasmian Bas Mini GoKL dan Laluan Baharu GoKL ke-15 (Prima Alam - Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM) di Institut Latihan DBKL pada Isnin. Foto Bernama
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kiri) merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menyaksikan Dr Zaliha (kiri) menyempurnakan majlis perasmian Bas Mini GoKL dan Laluan Baharu GoKL ke-15 (Prima Alam - Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM) di Institut Latihan DBKL pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan lapan daripada 10 jumlah isi rumah di ibu negara mempunyai akses dalam lingkungan tempoh 10 minit ke mana-mana stesen transit berdekatan menjelang 2040.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, perkhidmatan pengangkutan sedia ada hendaklah mencapai kualiti yang diharapkan oleh pengguna.

"... contohnya, dari segi peningkatan tahap frekuensi atau kekerapan lebih singkat, di samping memastikan kemudahan pertukaran mod pengangkutan lebih berintegrasi di bawah satu hab yang sama," katanya ketika merasmikan Bas Mini GOKL dan Laluan Baharu GOKL ke-15 (Prima Alam - Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM) di sini pada Isnin.

Dr Zaliha berkata, kerajaan terus komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan percuma bas GOKL dengan memperluas laluan sedia ada kepada 15 laluan secara keseluruhannya dengan menambah tahap capaian penduduk kepada perkhidmatan itu.

"Laluan perkhidmatan bas percuma GOKL sedia ada terdiri daripada 14 laluan, dengan empat laluan di dalam pusat bandar atau Last Mile, manakala 10 laluan lain adalah di luar pusat bandar atau First Mile.

"Laluan sedia ada ini menghubungkan warga kota daripada hab pengangkutan ke sekitar pusat bandar seperti Bukit Bintang, KLCC, KL Sentral dan juga kawasan tumpuan lain di luar pusat bandar seperti Bandar Tun Razak dan Bandar Sri Permaisuri," katanya.

Dr Zaliha berkata, kerajaan melalui Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 menyasarkan kadar penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan warga kota sekurang-kurangnya 70 peratus bagi mencapai hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah Bandar Untuk Semua.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh berkata, laluan baharu GOKL ke-15 telah memulakan perkhidmatan yang menghubungkan penumpang dari Prima Alam Damai ke HCTM sejak 1 Februari lepas.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, penambahan laluan itu dibuat berdasarkan kepada beberapa faktor seperti kajian yang dijalankan, permohonan daripada penduduk setempat, selain kawasan perumahan berkepadatan tinggi.

Ia melibatkan laluan di beberapa kawasan perumahan berkepadatan tinggi seperti Residensi PR1MA Alam Damai, Residensi Razak Mas, Flat Taman Desa Cheras, Flat Taman Bukit Anggerik, Kuarters Institut Pendidikan Alam Damai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Damai, Sekolah Kebangsaan (SK) Alam Damai, SMK Orkid Desa, Madrasah Makarimul Akhlak, Kondominium Angkasa dan Kondominium Puncak Banyan.

"Laluan baharu ini diwujudkan bagi memberi lebih pilihan kepada orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam selain turut memudahkan pengguna membuat pertukaran mod pengangkutan daripada bas kepada pengangkutan rel sama ada Transit Aliran Massa (MRT) atau Transit Aliran Ringan (LRT)... terdapat beberapa lokasi yang membolehkan penumpang membuat pertukaran laluan bas yang dikehendaki iaitu di hentian Institut Latihan DBKL (IDB) dan Prima Alam Damai," katanya.

Kamarulzaman berkata laluan ke-15 itu turut menggunakan perkhidmatan Bas Mini EV GOKL bersaiz lapan meter yang digunakan di laluan GOKL 15 bermula 1 Februari lepas.

"Penggunaan bas mini bertujuan memastikan pergerakan bas lebih lancar dan mudah untuk membuat pusingan terutamanya ketika melalui selekoh yang tajam, laluan sempit dan kawasan perumahan.

"Kapasiti maksimum muatan bas mini ialah 52 penumpang iaitu 18 penumpang dengan tempat duduk, 33 penumpang berdiri dan satu penumpang berkerusi roda," katanya.

Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata, sebanyak 11.5 juta penumpang menggunakan perkhidmatan pengangkutan percuma bas GOKL sepanjang 2023.

Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited dalam menyediakan perkhidmatan itu kepada pengguna bagi menggalakkan dan memperkasakan pengangkutan awam di ibu kota.

"Purata penumpang bagi setiap hari ialah 32,000 orang dan 960,000 penumpang sebulan, sekali gus menunjukkan peningkatan 33 peratus berbanding 2022 yang mencatatkan 8.6 juta penumpang," katanya. - Bernama