Singkir 'parasit' dalam PH demi kestabilan Kerajaan Perpaduan

Shaiful Hazizy
Shaiful Hazizy
A
A
A

ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) seharusnya bersikap tegas dengan menyingkirkan parasit dalam gabungan itu untuk kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, ini kerana pemimpin yang bersifat parasit hanya akan mencetuskan perbalahan dan menyukarkan kerjasama sedia ada untuk menjadi yang terbaik.

Menurutnya, mana-mana ahli gabungan yang berhaluan kiri dan tidak sehaluan dengan pendirian parti hendaklah diambil tindakan tegas sebelum ia menjadi barah dalam kerajaan mahupun kerjasama politik ini.

“Jika PH mahu kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan ini diteruskan dalam tempoh lama, mereka perlu singkirkan parasit-parasit dalam parti.

“PH perlu tegas dalam isu ini! Anjing-anjing luar pagar perlu dikeluarkan dari parti. Kalau tidak, parti akan nampak lemah dan menyerah sahaja. Simpan lama-lama pun tiada guna, jadi pekasam sahaja,” katanya di sini pada Isnin.

Shaiful Hazizy berkata, akhir-akhir ini seorang demi seorang ahli PH mula menunjukkan ‘belang’ sebenar, yang mana mereka tidak pernah bersetuju dengan keputusan pimpinan parti mereka membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Bermula dengan Hassan Karim (ahli Parlimen Pasir Gudang) mengkritik pimpinan PH lemah dan rapuh serta desakan untuk menukar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kemudian ahli DAP, Tony Pua pula melakukan penghinaan kepada institusi beraja.

“Tak lama selepas itu muncul lagi seorang, Ong Kian Ming (bekas ahli Parlimen Bangi) dengan kenyataan biadab mengkritik pimpinan DAP untuk mengambil pendirian dalam isu Tony Pua,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, sekiranya dibiarkan, akan muncul seorang demi seorang ‘si kitol’ dalam Kerajaan Perpaduan yang akan memburukkan imej gabungan itu pada mata masyarakat mahupun dunia.

Ketua UMNO Bahagian Merbok itu tegaskan, Parti Keadilan Rakyat (PRK) mahupun DAP wajar mengikut langkah UMNO yang tidak teragak-agak menyingkirkan pemimpin atau ahli yang disifatkan tidak sehaluan.

“UMNO mengambil tindakan berani membuang Isham Jalil (Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO) yang bukan calang-calang jawatannya dengan kesalahan yang sama dilakukan seperti Hassan Karim dari PKR yang mengkritik penyatuan Kerajaan Perpaduan.

“DAP juga perlu ada pendirian tegas terhadap ahli-ahli parti mereka yang masih lagi mempunyai sumpah dan taat setia kepada Dinasti Lim,” ujarnya.