Perkasa 116 KRT jana ekonomi negara

Aaron Ago (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Zamakhshari (tiga dari kanan).
Aaron Ago (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Zamakhshari (tiga dari kanan).
A
A
A

MACHANG - Kementerian Perpaduan Negara akan memperkasakan 116 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) supaya lebih progresif dalam menjana dan meningkatkan tahap ekonomi komuniti di seluruh negara bermula April ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, bagi tujuan itu, kerajaan melalui Belanjawan 2024 menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada kementerian berkenaan.

Menurut beliau, KRT Progresif tersebut akan memberi fokus kepada lapan bidang tumpuan iaitu ekonomi sara hidup, keselamatan ketahanan komuniti, kepimpinan, kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar, warisan budaya dan daya cipta.

“Sebanyak 116 KRT Progresif ini akan menjadi role model kepada KRT lain seperti di Terengganu ada KRT mengusahakan tanaman nanas, Johor agrotani dan Pahang pelbagai perusahaan makanan.

“Usaha pemerkasaan KRT Progresif ini bertepatan dengan aspirasi Rukun Negara sekali gus meningkatkan berperanan KRT secara lebih aktif dan dinamik dalam membangun komuniti progresif termasuk ekonomi,” katanya selepas merasmikan Kompleks Perpaduan Jajahan Machang di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Exco Belia, Sukan NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad.

Ujar Aaron Ago, sehingga kini, ada 8,438 KRT di seluruh negara meliputi 12 juta penduduk.

“Setiap KRT mempunyai kira-kira 1,500 ahli.

Artikel Berkaitan:

“Sehubungan itu, 116 KRT Progresif permulaan ini akan memberi manfaat kepada 174,000 penduduk,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, terdapat sebanyak 763 Pusat Rukun Tetangga (PRT) dan 13 Pusat Aktiviti Perpaduan (PAP) di seluruh negara bawah Kementerian Perpaduan Negara.

“Misalnya di Kelantan mempunyai 4 PRT, 1 PAP dan sebuah kompleks perpaduan.

“Saya ingin menyeru seluruh KRT agar berperanan secara lebih aktif dan dinamik untuk membangun komuniti progresif,” katanya.