Isu Kashmir: Malaysia perjuangkan keadilan, hak asasi manusia

Maszlee ketika berucap pada Hari Solidariti Kashmir 2024 di IAIS pada Ahad. Foto Sinar Harin-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Maszlee ketika berucap pada Hari Solidariti Kashmir 2024 di IAIS pada Ahad. Foto Sinar Harin-MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PETALING JAYA - Pendirian tegas Malaysia dalam konflik di Kashmir mencerminkan dedikasi negara terhadap perjuangan keadilan, kesaksamaan dan hak asasi manusia.

Pengerusi Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), Profesor Dr Maszlee Malik berkata, hubungan sejarah dan budaya antara Malaysia dan Kashmir juga menjadi peringatan dan komitmen bersama terhadap perjuangan menuntut keadilan.

"Sebagai badan pemikir, IAIS telah ditugaskan untuk peka dan cakna terhadap isu berkaitan umat Islam di seluruh dunia dan apa yang berlaku di Kashmir memerlukan perhatian serta usaha berkesinambungan.

"Prinsip Malaysia dalam isu Kashmir adalah selaras dengan resolusi PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan aspirasi itu melambangkan dedikasi Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap hak asasi manusia," katanya ketika ditemui pada program Hari Solidariti Kashmir 2024, di sini pada Ahad.

Maszlee (dua dari kanan) bersama Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur, Syed Ahsan Raza Shah (dua dari kiri) turut hadir pada program Hari Solidariti Kashmir 2024 pada Ahad. Foto Sinar Harin-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Maszlee (dua dari kanan) bersama Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur, Syed Ahsan Raza Shah (dua dari kiri) turut hadir pada program Hari Solidariti Kashmir 2024 pada Ahad. Foto Sinar Harin-MOHD HALIM ABDUL WAHID

Dalam pada itu, Maszlee memaklumkan, pemilihan Malaysia sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB memberikan negara tanggungjawab untuk mengutamakan agenda tersebut secara global.

Justeru, menurutnya, mandat itu secara tidak langsung membenarkan Malaysia untuk menggesa India menegakkan hak dan kebebasan rakyat Kashmir.

"Malaysia boleh memulakan resolusi, kenyataan dan mekanisme untuk melindungi rakyat Kashmir bagi memastikan cadangan laporan PBB dapat dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Isu Kashmir tidak dapat diselesaikan hingga hari ini, malah diburukkan dengan gelombang Islamofobia dan ekstremisme.

"Oleh itu, ia memerlukan kekuatan kolektif Malaysia untuk bersama memperjuangkan nasib mereka," ujarnya.

Hari Solidariti Kashmir 2024 yang berlangsung di IAIS dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Pakistan dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggariskan ekspresi perpaduan bersama rakyat Kashmir yang tertindas.

Diperingati setiap tahun pada 5 Februari, Hari Solidariti Kashmir melambangkan sokongan tidak berbelah bahagi dalam memperjuangkan hak mereka.