SPRM bakal dedah individu, entiti enggan pulang wang 1MDB

Latheefa Koya -Foto Sinar Harian
Latheefa Koya -Foto Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendedahkan senarai individu dan entiti yang enggan memulangkan semula dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka adalah antara 80 individu dan entiti yang sebelum ini diberi notis kompaun mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, senarai nama termasuk ahli politik itu akan dikeluarkan pihaknya dalam masa terdekat dan pendakwaan di mahkamah mengikut kes masing-masing.

"Tapi pendakwaan bukan dalam minggu ini," katanya pada sidang akhbar sempena pementasan teater Semarak Pertiwiku di Istana Budaya di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Pada 7 Oktober lalu, SPRM mengeluarkan notis kompaun terhadap 80 individu, parti politik, syarikat dan badan organisasi yang dipercayai menerima dana daripada 1MDB.

Antara individu terbabit ialah Datuk Nazir Razak iaitu adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan; Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Jumlah keseluruhan dana tersebut ialah RM420 juta dengan purata individu menerima wang serendah RM500,000 sehingga RM25 juta sementara entiti terlibat menerima wang sehingga RM134 juta.

Artikel Berkaitan: