Berpendirian tegas, Sultan Ibrahim pemangkin penyatuan rakyat

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Gambar fail Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Gambar fail Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kepimpinan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang dikenali sebagai raja berpendirian tegas dan berani, mampu menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, Seri Paduka Baginda sebagai penaung utama negara, diyakini mampu menjadi tonggak kestabilan perpaduan rakyat, sekali gus memadam api perkauman yang boleh menggugat keharmonian antara kaum.

Seri Paduka Baginda yang berpendirian tegas juga akan menjadi benteng penghalang usaha pihak tertentu, terutama yang ingin mencapai matlamat politik mereka dengan memainkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).

"Ketegasan itu boleh dilihat menerusi titah-titah Sultan Ibrahim sebelum ini yang antaranya memberi amaran kepada pihak yang mencuba sebarang usaha untuk memecahbelahkan jambatan perpaduan Bangsa Johor.

"Seperti di Johor, pernah ada isu perkauman dan salah faham, tetapi ketegasan Sultan Ibrahim yang berperanan sebagai penaung negeri, menjadi pemadam api perkauman dan menitahkan supaya ia diselesaikan segera, " katanya kepada Bernama di sini.

Sehubungan itu, beliau percaya peranan itu akan terus dimainkan oleh Seri Paduka Baginda dalam memastikan isu seperti 3R dapat dihentikan sebelum ia menjadi marak.

Tian Soon berkata, Seri Paduka Baginda yang sering mencemar duli berangkat bagi meraikan pelbagai sambutan perayaan ketika bergelar Sultan Johor, menjadi ikon perpaduan kepada rakyat di negeri itu.

"Contohnya, Tuanku hadir Festival Chingay yang merupakan antara sambutan terbesar di dalam negeri bagi kaum Tionghua, begitu juga Deepavali Tuanku berangkat dan memberi contoh terbaik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Tian Soon, titah-titah Sultan Ibrahim berkenaan perpaduan juga telah mencetus kepada wujudnya Duta Perpaduan Johor dan Jawatankuasa Harmoni Negeri Johor.

Duta Perpaduan Johor telah melahirkan 300 generasi muda daripada setiap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan persatuan belia di negeri itu yang berperanan menjadi jurucakap kerajaan negeri dalam menyampaikan mesej-mesej perpaduan kepada orang ramai.

Jawatankuasa Harmoni pula terdiri daripada pelbagai agensi dan jabatan seperti Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan pemimpin daripada setiap agama termasuk Buddha, Hindu, Kristian dan Sikh, berperanan dalam berkongsi pandangan serta menangkis segala isu keagamaan dan sebagainya.

Justeru, beliau mengharapkan Malaysia akan terus harmoni dan rakyat bersatu padu dalam membangunkan negara di bawah naungan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu.

Sultan Ibrahim diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari.

Seri Paduka Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari lepas.

Raja Zarith Sofiah sifat kepedulian yang tinggi tentang ilmu dan kebajikan

Dalam pada itu, ibarat 'ibu' yang sentiasa memayungi masa depan anak-anak, begitulah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang begitu komited dalam mengutamakan bidang pendidikan dan perkembangan intelektual rakyat terutamanya generasi muda.

Kecintaan mendalam Raja Permaisuri Agong terhadap bidang pendidikan sebagai wadah untuk memajukan diri terserlah apabila banyak mengilhamkan program yang memberi manfaat secara langsung bukan sahaja kepada pembentukan dan melahirkan graduan berkualiti, malah turut membantu memajukan komuniti setempat khususnya di Johor.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, penubuhan Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 15 Jun 2019, adalah antara bukti komitmen Raja Zarith Sofiah terhadap bidang pendidikan.

Hal ini kerana melalui pusat berkenaan, beberapa siri wacana yang menghimpunkan intelektual terkemuka negara dan antarabangsa telah dilangsungkan dengan baginda sendiri mengambil peluang menyampaikan ucap tama dalam wacana berkenaan.

Satu daripada wacana itu ialah ketika program Syarahan Perdana dan majlis pelancaran buku tokoh intelek dunia Islam Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas berjudul Islam: The Covenants Fulfilled di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, tahun lepas.

"Sosok kehadiran Raja Permaisuri Agong dalam wacana ilmu seperti ini menzahirkan lagi komitmen Seri Paduka Baginda dalam bidang keilmuan, khasnya dalam konteks manfaat dunia Islam,” katanya kepada Bernama.

Raja Zarith Sofiah merupakan Canselor UTM sejak 1 Jun 2010.

Penubuhan RZS-CASIS antara lain bermatlamat menjalankan penyelidikan termaju tentang Islam, sains dan tamadun serta memberikan kepakaran dalam bidang pemikiran dan peradaban Islam.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Cina dari University of Oxford, United Kingdom, Raja Permaisuri Agong juga ialah pencetus idea untuk UTM menjalinkan kerjasama dengan Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), United Kingdom, pada Mei tahun lepas untuk menganjurkan program Science Roundtable, bertemakan Imagining the Future: Climate Change, Health, and Food Security in Muslim Societies.

"Penganjuran program OCIS-UTM ini adalah untuk membincangkan buah fikiran dan strategi yang mampan bagi menangani perubahan iklim dunia terutamanya dalam konteks masyarakat Islam.

"Ia sebagai melengkapi aktiviti intelektual lain seperti UTM Royal Intellectual Forum, yang bermatlamat membincangkan nilai moral ekonomi Islamiah dalam konteks cabaran dan pelaksanaan yang menekankan keadilan, kesamarataan dan kemampanan dalam mendepani dunia digital era kini yang pantas berubah,” kata beliau.

Selain itu, di Johor Bahru, Raja Zarith Sofiah ialah individu yang mengilhamkan program Bangsa Johor Bahagia (BJB), suatu program signifikan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Komuniti di Pangsapuri Kangkar Pulai di sini, merupakan projek perintis bagi program itu dan telah dimulakan oleh pasukan penyelidik UTM pada 2018 di bawah naungan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

"Menerusi program itu, Raja Permaisuri Agong telah menyumbang dan mengumpul dana serta bantuan peralatan bagi pelaksanaan projek ini. Sehingga kini, komuniti BJB telah menjadi contoh dan mendapat pengiktirafan antarabangsa, sepertimana komuniti Flat Kenari Kangkar Pulai yang menjadi pemenang Commonwealth Association of Planners (CAP) Award for Planning Achievement atas keberhasilan yang cemerlang dalam Projek Kebun Komuniti,” kata Ahmad Fauzi.

Pada sisi keperibadian lain, Seri Paduka Baginda juga dilihat sebagai sosok yang mempunyai keprihatinan tinggi terhadap kebajikan dan kemaslahatan rakyat, lebih-lebih lagi bagi pelajar yang menuntut di UTM.

Seri Paduka Baginda sering mengadakan perjumpaan sama ada secara fizikal ataupun dalam talian untuk bertanyakan khabar mereka terutama ketika pandemik Covid-19.

Malah, dalam konflik kemanusiaan di Gaza, Palestin yang masih berlarutan sehingga kini, Seri Paduka Baginda menjadi antara individu terkedepan yang mengambil peduli kebajikan dan kesejahteraan mental dan fizikal 31 pelajar Palestin yang sedang menuntut di universiti awam berkenaan.

Menerusi Majlis UTM Chancellor’s Engagement with Palestinian Students pada Oktober 2023, Raja Permaisuri Agong sendiri berkenan menyantuni mereka secara peribadi.

Selain cakna penderitaan dialami pelajar Palestin, Raja Zarith Sofiah turut komited menyokong UTM dalam meraih dana bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan dan pengoperasian universiti menerusi program "UTM Royal Gala Dinner” yang dianjurkan pada setiap dua tahun.

Pelaksanaan program ini, kata Ahmad Fauzi, telah membuka peluang kepada agensi kerajaan, korporat, pemain industri bahkan orang perseorangan untuk sama-sama menyumbang dan menjalankan tanggungjawab sosial, lebih-lebih lagi untuk manfaat mahasiswa. - Bernama