Sultan Selangor berkenan isytihar Klang sebagai Bandaraya Diraja

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Klang sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berkuat kuasa 23 Nov tahun lepas. Foto Bernama
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Klang sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berkuat kuasa 23 Nov tahun lepas. Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytihar dan menetapkan Majlis Perbandaran Klang sebagai bandar raya pada Isnin.

Baginda bertitah, perbandaran itu kini hendaklah disebut sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang buat selama-lamanya.

Berikut adalah titah pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang oleh Sultan Selangor pada Majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang di sini pada Isnin.

Terlebih dahulu beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan juga kerajaan Persekutan bersetuju untuk menaik taraf Majlis Perbandaran Klang menjadi Majlis Bandaraya Diraja Klang.

Beta berasa sukacita kerana setelah melalui pelbagai peringkat, cabaran dan proses, Bandar Diraja Klang ini akhirnya dinaik taraf kepada status bandar raya.

Selepas Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya, Klang adalah daerah keempat di Selangor yang dinaik taraf sebagai sebuah bandar raya.

Bandaraya Klang ini amat dekat di hati beta, bukan sahaja kerana ia menempatkan istana beta, Istana Alam Shah, namun Klang juga menyimpan pelbagai sejarah kesultanan Selangor dan juga sejarah penubuhan negeri Selangor itu sendiri.

Beta telah menyaksikan pembangunan bandar Klang melalui pelbagai fasa sama ada dari segi perubahan fizikal, sosial dan demografik mahupun populasi penduduk yang semakin meningkat setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

Beta bersyukur kerana Klang telah berjaya melalui pelbagai fasa kejayaan dan cabaran sejak zaman penjajahan sehinggalah hari ini yang telah membolehkan rakyat beta yang tinggal di Klang menikmati pembangunan dan kemajuan yang pesat.

Beta mahu melihat Klang menjadi sebuah bandar raya boleh dibanggakan seluruh rakyat Selangor dan membangun ke tahap lebih cemerlang dan dikenali dengan imej bandaraya bersih di samping memiliki daya tarikan warisan bersejarah.


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan melawat ruang pameran disediakan dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Noraini
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan melawat ruang pameran disediakan dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Noraini

Justeru, antara yang perlu diberikan perhatian ialah tahap kebersihan kawasan-kawasan perumahan, sungai dan tebing-tebing sungai serta kemudahan prasarana yang baik.

Tumpuan juga adalah kepada penyusunan semula sektor perumahan, kawasan perniagaan dan juga usaha-usaha mengatasi masalah populasi burung gagak dan pengawalannya.

Seperti yang kita semua sedia maklum, masalah banjir sering berlaku di daerah Klang terutama pada setiap musim tengkujuh.

Situasi ini terjadi adalah disebabkan daerah Klang terletak di sepanjang laluan Sungai Klang daripada hulu ke hilir sebelum air sungai ini menuju ke laut.

Sekiranya berlaku air pasang besar dan diikuti pula dengan hujan yang lebat, banjir besar akan melanda sebahagian daripada daerah Klang dan akan menjejaskan kehidupan penduduk yang terlibat.

Oleh demikian, beta mengharapkan datuk bandar dan ahli-ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang mengambil serius tentang masalah ini dengan memikirkan langkah-langkah boleh diambil bagi mengatasinya.


Datin Paduka Noraini Roslan dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang yang pertama.
Datin Paduka Noraini Roslan dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang yang pertama.

Pelan rancangan rapi dan teratur perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kedudukan Bandaraya Diraja Klang yang terletak di muara Sungai Klang.

Pendapat pakar-pakar perlu diperolehi bagi memastikan sebarang rancangan mengatasi masalah banjir ini dapat diatasi dengan berkesan.

Dalam pada itu, beta berharap pihak-pihak berwajib yang diamanahkan membangunkan Klang akan terus mempromosikan industri pelancongan di lokasi-lokasi menarik dan bersejarah di sekitar Klang, sekali gus mampu menjana ekonomi dan pendapatan penduduk di daerah ini.

Usaha-usaha juga perlu dipertingkatkan dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat demi memastikan warga Bandaraya Diraja Klang hidup dalam keadaan harmoni dengan persekitaran selamat untuk dihuni.

Perancangan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang perlu segera dilaksanakan kerana apalah guna kita berbangga dengan pencapaian status bandar raya sekiranya masalah keperluan asas rakyat pun tidak dapat diurus dengan baik.

Beta mahu pengiktirafan status bandaraya ini menjadi dorongan kepada pihak berkuasa menyediakan perkhidmatan yang lebih efisyen, kemudahan prasarana dan utiliti awam yang lebih baik serta menyediakan perkhidmatan perbandaran yang cekap, berkualiti dan bertaraf antarabangsa demi kesejahteraan rakyat di Klang.

Bagi mencapai semua hasrat yang beta nyatakan tadi, beta berpandangan dan menyarankan agar ahli-ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang ini perlulah dianggotai oleh bukan sahaja ahli-ahli politik, tetapi juga golongan profesional pakar dalam bidang-bidang diperlukan di dalam pembangunan sesebuah bandar.

Jika boleh beta cadangkan jumlah golongan profesional perlulah sekurang-kurangnya memenuhi 50 peratus dari jumlah keseluruhan ahli majlis.

Di samping itu ahli-ahli majlis juga perlu menggambarkan komposisi kaum dan populasi sesuatu kaum yang menetap di Bandaraya Klang agar semua kaum dapat diwakili oleh wakil mereka mengikut jumlah yang berpadanan dengan jumlah sesuatu kaum.

Di samping itu, beta suka mengingatkan kepada ahli-ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang, datuk bandar dan juga kakitangan Majlis Bandaraya Diraja Klang agar sentiasa memberikan perkhidmatan dengan penuh dedikasi dan berintegriti.

Jauhilah dari segala perbuatan rasuah dan penyalah gunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu.

Tuan-tuan semua kena turun ke padang bagi mendekatkan diri dan melihat sendiri masalah rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka dan amalkanlah pendekatan berbincang dan bertindak segera tanpa perlu menunggu aduan dibuat baru mahu bertindak.

Beta juga mahu perpaduan dalam kalangan penduduk yang berbilang bangsa di daerah Klang ini terus dieratkan.

Hormatilah antara satu sama lain dengan tidak membesarkan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti suatu agama, kaum, bangsa atau keturunan yang boleh menggugat keharmonian.

Gunakanlah semua aplikasi teknologi moden yang ada untuk membantu mengeratkan lagi perpaduan masyarakat dan bukannya menyebarkan fitnah dan

kebencian yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat.

Dalam masa sama, beta juga mahu warga Bandaraya Diraja Klang berbangga dengan status Bandaraya Diraja ini dan sentiasa bekerjasama dengan pihak berwajib dalam menjaga kebersihan khususnya di pesisir Sungai Klang, harta benda awam dan mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan bagi menjaga

status Bandaraya Diraja ini selaras dengan slogan Klang Sihat dan Sejahtera.

Manakala pihak penguat kuasa bandar raya perlulah tegas dan melaksanakan tugas dengan berdisiplin dan berhemah.

Beta mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada Perancang Bandar, Datin Noraini Roslan dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang yang pertama dan juga merupakan wanita pertama dilantik sebagai datuk bandar di negeri Selangor.

Beta beharap datuk bandar dan ahli-ahli majlis serta kakitangan Majlis Bandaraya Diraja Klang dapat meneruskan kejayaan dicapai dan melaksanakan misi jabatan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Beta mendoakan semoga Klang selaku Bandaraya Diraja akan terus kekal makmur, harmoni dan sejahtera.

Beta juga berdoa agar negeri Selangor yang kita kasihi ini terus dipelihara ALLAH SWT sebagai sebuah negeri maju, makmur, harmoni serta dijauhi dari malapetaka, bencana dan segala musibah yang tidak kita ingini.