Petanda amat positif buat hoki 5s

No Image Caption
A
A
A

KEJAYAAN skuad hoki lelaki negara muncul naib juara Piala Dunia 5 Sebelah (5s) di Oman menjadi isyarat yang amat bermakna buat Malaysia untuk menjadi pencabar digeruni pada tahun-tahun mendatang.

Malah, penganalisis sukan Mohd Sadek Mustafa berkata, kejayaan tersebut juga mampu mengubat kekecewaan para peminat hoki setelah skuad Speedy Tigers gagal meraih slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Kejayaan itu ke pentas final dan muncul naib juara bukan sahaja mengubat kecewa, malah beri petunjuk paling positif buat sukan hoki negara," katanya kepada Sukan Sinar.

Skuad bimbingan Wallace Tan itu memberi tentangan sengit sebelum akur tewas 2-5 kepada Belanda dalam aksi final di Muscat awal pagi Khamis.

Mohd Sadek turut memuji Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang cepat belajar daripada kekecewaan skuad hoki dalam dewan negara yang terlepas pingat emas kepada Indonesia pada Sukan SEA Kemboja Mei tahun lalu.

"Kekalahan itu membuka mata KHM untuk mengembalikan reputasi hoki dalam dewan setelah kalah kepada Indonesia di pentas final Sukan SEA. Usaha mereka (KHM) berjaya dan hasilnya dapat dilihat menerusi kebangkitan skuad hoki 5s di Oman," katanya.

Skuad hoki dalam dewan negara gagal mempertahankan emas setelah dikejutkan 1-2 oleh Indonesia menerusi penentuan shoot-out dalam aksi final setelah kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam masa sebenar permainan.

Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, kejayaan skuad hoki 5s itu juga memberi dimensi baharu buat negara kerana corak permainan sukan tersebut berbeza berbanding hoki 11s.

Artikel Berkaitan:

"Ia memberi dimensi lain berbanding hoki 11s. Hoki 5s menuntut permainan yang pantas, game play berbeza dan dan kemahiran yang tinggi dalam kalangan pemain. Ia seperti futsal," katanya.

Justeru di sebalik kejayaan di Oman itu, beliau percaya ia mampu memberi semangat baharu buat para pemain dan KHM untuk mengorak langkah lebih jitu menyusun strategi jangka panjang agar skuad negara konsisten berada pada tahap terbaik di pentas dunia.

"KHM wajar membuat liga untuk hoki 5s ini. Dipertandingkan mengikut zon seperti utara, timur, tengah dan selatan. Ia bukan sahaja melibatkan pemain senior dan junior, tapi di peringkat bawah umur, misalnya 15 tahun ke bawah," katanya.