PRU16: UMNO cari pendekatan baharu tawan Kelantan

Ahmad Jazlan (tengah) semasa sidang akhbar selepas merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Jazlan di Machang pada Jumaat.
Ahmad Jazlan (tengah) semasa sidang akhbar selepas merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Jazlan di Machang pada Jumaat.
A
A
A

MACHANG - UMNO Kelantan akan memikirkan pendekatan baharu dalam usaha menawan hati rakyat di negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ia susulan parti itu ditolak oleh rakyat negeri ini sejak 30 tahun lalu.

"Kita akan tampil dengan idea dan pendekatan baharu dalam usaha menarik sokongan rakyat.

"Jika idea lama itu bagus, ia akan turut digunakan.

"Oleh itu Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang melibatkan parti-parti gabungan iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjadi platform bagi membincangkan hala tuju PRU16," katanya semasa sidang akhbar pada Jumaat.

Sebelum itu beliau merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Jazlan di sini.

Penonton yang hadir pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Jazlan di Machang pada Jumaat.
Penonton yang hadir pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Jazlan di Machang pada Jumaat.

Menurut beliau, segala hasil konvensyen akan dirangka untuk menyediakan rancangan lebih baik bagi ditawarkan kepada rakyat Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Ada yang kata, Kelantan sukar untuk ditawan, namun dalam politik apa sahaja boleh berlaku.

"Lihat sahaja contoh UMNO dan BN yang mentadbir negara selama 60 tahun boleh tumbang pada PRU14.

"Saya yakin rakyat akan kembali bersama kita menerusi gabungan yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH) menerusi Kerajaan Perpaduan," katanya.

Ahmad Jazlan memberitahu, pada masa sama Konvensyen Kerajaan Perpaduan akan digunakan untuk memperkasakan lagi kerjasama antara BN dan PH.

"Semasa pilihan raya negeri (PRN) lalu, kita tidak sempat untuk menyusun strategi.

"Alhamdulillah kerjasama semakin bertambah baik pada hari ini.

"Saya lihat kali ini semua jentera dalam BN dan PH perlu diperkemaskan supaya kita bergerak seiring menjelang PRU16 nanti," katanya.

Ujar beliau, menjelang PRU16 nanti, Sekretariat Kerajaan Perpaduan Madani akan memberi fokus kepada penerangan berkait dengan dasar-dasar yang dibawa oleh pucuk pentadbiran negara pada hari ini.