Perak setuju terima geran KBS RM500,000

Khairudin (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Countdown Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di Ipoh pada Jumaat.
Khairudin (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Countdown Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

KERAJAAN Perak bersetuju menerima tawaran peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjumlah RM500,000 bagi menaik taraf sistem saliran dan penanaman rumput di Stadium Perak.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, persetujuan itu dicapai hasil perbincangan bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri Selasa lalu.

Bagaimanapun pihaknya masih belum memutuskan sama ada akan menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia atau Bermuda kerana perlu mengambil kira pandangan pakar dengan kesesuaian padang.

"Dalam masa terdekat ini saya akan adakan mesyuarat bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negeri dan Perak FC untuk mengetahui skop kerja perlu dilaksanakan.

"Kita nak pastikan padang di Stadium Perak itu dapat digunakan sebaik mungkin sebelum Liga Super bermula pada Mei nanti," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Countdown Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di sini pada Jumaat.

Larian obor dijayakan atlet yang mewakil Perak dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2024.
Larian obor dijayakan atlet yang mewakil Perak dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2024.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson.

Artikel Berkaitan:

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini memaklumkan kementerian menawarkan pemberian geran sebanyak RM500,000 kepada setiap negeri termasuk Wilayah Persekutuan bagi menaik taraf sistem saliran dan penanaman rumput bagi membantu pasukan menyediakan venue yang lebih baik dan tidak mengganggu perjalanan musim baharu Liga Malaysia.

Daripada jumlah itu, RM300,000 adalah untuk naik taraf saliran dan selebihnya untuk geran penanaman rumput yang dibayar kepada negeri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Perak menyasarkan berada dalam kedudukan tiga terbaik pada Kejohanan Olahraga MSSM tahun ini.

Katanya, tahun lalu, negeri itu terpaksa berpuas hati di tangga ke sembilan dengan enam emas, perak (6) dan gangsa (8).

"Besar harapan kita dapat memperbaiki kedudukan itu. Kita ada acara-acara yang memang jaguh antaranya lompat berpagar, lompat kijang dan larian jarak sederhana dan jauh.

"Dua atlet kita juga telah berjaya melepasi syarat kelayakan untuk Kejohanan Remaja Asia B20 di Dubai pada April nanti dan pencapaian ini sudah tentu memberi motivasi kepada barisan atlet lain," katanya.