Polis cekup 11 lagi individu terlibat aktiviti persundalan

Raub
Raub
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 11 individu melibatkan seorang lelaki warga tempatan dan 10 wanita warga asing ditahan pada awal pagi Khamis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan persundalan di kawasan Taman Seri Tebrau di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua suspek ditahan hasil serbuan di dua premis yang disyaki menjalankan kegiatan persundalan.

Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada jam 12.30 tengah malam 1 Februari lalu.

"Hasil serbuan yang dijalankan, didapati kedua-dua premis berkenaan telah menjalankan perniagaan tanpa memiliki lesen yang sah.

"Dalam kedua-dua serbuan tersebut, pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun dan 10 wanita warga asing berusia lingkungan 24 hingga 41 tahun kerana disyaki terlibat dalam aktiviti persundalan serta bekerja tanpa permit kerja yang sah.

"Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sekeping jadual bekerja, risalah perniagaan, wang tunai bernilai RM710, dua telefon bimbit, segulung tisu, dua tuala mandi dan dua botol minyak urut," katanya dalam satu kenyataan pada malam Khamis.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) UUKKPPTPP, Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti persundalan boleh terus menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini pada 25 Januari lalu, polis menahan 10 individu melibatkan tiga lelaki warga tempatan dan tujuh wanita warga asing kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran.

Kesemua individu berusia lingkungan 26 hingga 56 tahun itu ditahan hasil tiga serbuan di sekitar Taman Bukit Indah di sini kira-kira jam 6.50 petang hingga 8.30 malam.