Permohonan ikat jamin 13 dituduh culik lelaki Palestin ditolak

Mahkamah Sesyen menolak permohonan 13 individu yang dituduh menculik lelaki warga Palestin untuk dilepaskan dengan ikat jaminan.
Mahkamah Sesyen menolak permohonan 13 individu yang dituduh menculik lelaki warga Palestin untuk dilepaskan dengan ikat jaminan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat menolak permohonan 13 individu yang dituduh menculik seorang lelaki warga Palestin untuk dilepaskan dengan ikat jaminan.

Mereka ialah Edy Ko’im Said, 42, Mohamad Norakmal Hassan, 43, Dody Junaidi, 44, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41, Mohamad Naziree Mustapha, 41; Faizull Hardey Mohd Isa, 42; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27; Mohamad Sufian Saly, 25; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 23; Nidarahayu Zainal, 36; dan Raibafie Amdan, 41; Mohd Zaidi Mohd Zain, 56, dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51.

Semasa prosiding, Hakim, Siti Aminah Ghazali menolak permohonan kesemua tertuduh dan mereka direman sehingga perbicaraan kes selesai.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara niat bersama menahan Omar Z M Albelbaisy Raeda untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit di Jalan Mayang di sini pada jam 10.40 malam 28 September 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenaan berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pada 6 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kesemua tertuduh untuk kes itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Pertuduhan terhadap mereka dibacakan semula di Mahkamah Sesyen pada 19 Jan lalu dan kesemua tertuduh membuat permohonan untuk dilepaskan dengan jaminan.

Artikel Berkaitan:

Kes itu dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh manakala peguam Kelvin Sidhu mewakili Edy Ko’im dan Mohamad Norakmal, Dody, Tengku Arif Bongsu, Mohamad Naziree, Faizull Hardey, Muhammad Iqmal, Mohamad Sufian, Mohd Zaidi serta Tengku Hazarul Ismail diwakili peguam Norma Go.

Nidarahayu pula diwakili peguam Muhammad Amin Abdullah dan Raibafie diwakili peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan.