Solat bina kekuatan jati diri ummah

MUSLIM yang meninggalkan solat secara sengaja atau tidak sengaja wajib menggantikan solat tersebut.
MUSLIM yang meninggalkan solat secara sengaja atau tidak sengaja wajib menggantikan solat tersebut.
A
A
A

BERBICARA mengenai bulan Rejab tidak akan lengkap tanpa satu kisah agung dan luar biasa yang melangkaui pemikiran manusia iaitu Israk dan Mikraj.

Sebelum peristiwa tersebut berlaku, Rasulullah SAW melalui pelbagai kisah kesedihan seperti kematian isteri tercinta, Saidatina Khadijah binti Khuwailid RA dan bapa saudara Baginda, Abu Talib bin Abdul Mutallib selain dakwah Baginda ditolak serta dicaci masyarakat setempat pada ketika itu.

ALLAH SWT kemudiannya menghadirkan satu motivasi bagi menggantikan kesedihan yang dialami Baginda melalui Israk dan Mikraj.

Dalam Israk dan Mikraj tersebut, Nabi Muhammad SAW dibawa dari Makkah, Arab Saudi ke Baitul Maqdis, Palestin sebelum diangkat ke langit untuk menerima perintah kewajipan solat kepada umat Islam.

Peristiwa Israk dan Mikraj tersebut dirakam di dalam al-Quran melalui ayat pertama Surah Al-Israk yang bermaksud:

“Maha Suci (ALLAH) yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati seselilingnya, agar Kami memperlihatkan sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.“

Peristiwa tersebut membawa makna yang sangat besar kepada umat Islam apabila berlakunya pensyariatan solat.

Mengapakah perintah solat begitu penting kepada umat Islam sehingga ALLAH SWT memerintahkan Rasulullah SAW naik ke langit untuk menerimanya?

Artikel Berkaitan:

Solat tiang paling utama

Mengupas mengenainya, Sinar Islam menemu bual Pensyarah Fakulti Syariah Dan Undang-Undang, Universiti Islam Selangor, Ustaz Mohd Rasyidi Ali.

Sebagai mukadimah, Mohd Rasyidi memberitahu, pelaksanaan ibadah solat yang merupakan rukun Islam kedua itu amat penting sebagaimana pentingnya tiang bagi sesebuah rumah.

“Bagaimana mungkin sesebuah rumah boleh berdiri teguh tanpa tiang-tiang yang menguatkannya?

“Begitulah juga dengan solat. Ia merupakan salah satu tiang paling utama dalam rukun Islam. Bahkan solat merupakan ibadah fizikal yang paling afdal untuk dilaksanakan berbanding ibadah lain menurut pandangan majoriti ulama,“ ujarnya.

USTAZ MOHD RASYIDI
USTAZ MOHD RASYIDI

Beliau menjelaskan lagi, umat Islam perlu yakin apabila sesuatu arahan yang wajib diperintahkan, ia bermaksud ibadah tersebut membawa kebaikan yang banyak kepada pelakunya.

“Apabila diperintahkan dengan kewajipan solat, kita perlu yakin bahawa ibadah tersebut membawa kebaikan tahap maksimum.

“Solat bukan sahaja menuntut kepada memenuhi syarat dan rukun solat semata-mata, bahkan dari sudut adabnya, kita diperintahkan untuk mengingati ALLAH SWT secara dalaman iaitu khusyuk di dalam pelaksanaannya.

“Ia bertepatan dengan ayat pertama dan kedua di dalam Surah Al-Mukminun:

“Sesungguhnya beruntung (berjaya) orang-orang yang beriman. Iaitu orang yang khusuk dalam solatnya,“ jelasnya.

Mohd Rasyidi yang juga Imam Masjid Bandar Seri Putra, Bangi itu memberitahu, ia adalah salah satu hikmah diwajibkan solat lima waktu kepada umat Islam iaitu agar sentiasa mengingati ALLAH SWT pada setiap waktu.

PELAKSANAAN solat yang sempurna akan menisbahkan jati diri yang mantap sekali gus membina kekuatan dan identiti umat Islam. - foto Pexels
PELAKSANAAN solat yang sempurna akan menisbahkan jati diri yang mantap sekali gus membina kekuatan dan identiti umat Islam. - foto Pexels

Bina kekuatan jati diri, masyarakat

Pentingnya untuk melaksanakan ibadah solat wajib ini bagi setiap umat Islam pada setiap waktu yang ditentukan bagi membina kekuatan jati diri.

“Pelaksanaan solat berkait dengan falsafah membina kekuatan diri seseorang individu itu sendiri. Apabila setiap Muslim mempunyai jati diri yang kuat, ia sekali gus akan membina satu jaringan yang kuat untuk membentuk jati diri masyarakat itu sendiri.

“Sebagai contoh, lihatlah apabila jati diri seseorang Muslim itu lemah kerana meninggalkan solat, maka dia akan hanyut. Jika ramai yang hanyut, ia membawa maksud masyarakat tersebut turut hanyut dan identiti Islam akan hilang dari muka bumi.

“Itulah kepentingan solat kepada Muslim iaitu pembinaan jati diri yang kuat,“ jelasnya.

Qada solat yang ditinggalkan

Ketika ditanya mengenai cara untuk menggantikan solat wajib yang ditinggalkan sebelum ini, Mohd Rasyidi memberitahu kaedah yang sama diguna pakai bagi mengqadakan puasa Ramadan yang ditinggalkan.

Bahkan menurut pandangan empat mazhab sepakat menyatakan hukum mengqada solat adalah wajib.

“Sebagai contoh, bagi seseorang yang meninggalkan solat wajib kerana malas atau tiada kesedaran untuk mendirikan solat ketika mencapai baligh pada umur 15 tahun dan kesedaran untuk melaksanakan solat itu hadir pada usianya 20 tahun, maka dia perlu mengira bilangan maksimum solat yang ditinggalkannya itu iaitu selama enam tahun penuh.

“Sebaik-baiknya mengqadakan solat itu mengikut tertib waktu solat ketika itu. Bagaimanapun secara umumnya tidak salah untuk menggantikan solat secara rawak dengan tidak mengikut tertib waktunya iaitu pada bila-bila waktu,“ jelasnya lagi.

SALAH satu hikmah kewajipan solat lima waktu agar umat Islam sentiasa mengingati ALLAH SWT. - foto Pexels
SALAH satu hikmah kewajipan solat lima waktu agar umat Islam sentiasa mengingati ALLAH SWT. - foto Pexels

Rasulullah SAW pilih susu pada malam Israk dan Mikraj

Abu Hurairah RA meriwayatkan sesungguhnya Nabi Muhammad SAW pernah diberikan dua cawan yang berisi arak dan susu pada malam Israk. Kemudian Baginda memilih untuk mengambil susu.

Setelah itu, malaikat Jibril AS berkata: “Segala puji bagi ALLAH yang telah menunjukkan kamu kepada suatu kesucian. Seandainya kamu mengambil arak, nescaya umatmu akan sesat.“ (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini memberi pengertian:

1. Pengukuhan Israk (perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Baitul Maqdis pada suatu malam) kepada Baginda.

2. Merupakan taufik daripada ALLAH SWT kepada Nabi SAW dengan memilih sesuai dengan fitrah.

3. Menjelaskan kelebihan susu berbanding minuman lain.

4. Menjelaskan sesungguhnya apa yang paling buruk daripada minuman adalah arak.

5. Keruntuhan umat dengan arak kerana sesungguhnya arak itu induk (punca) perbuatan tercela.

6. Dianjurkan memuji Allah SWT apabila sampai kepada seorang hamba itu, nikmat zahir atau batin, atau dipalingkan daripadanya keburukan.

Sumber: Al-Quran Al-Karim Amazing terbitan Karya Bestari Sdn. Bhd.