Inap desa 'sorok' 48 PATI di Tanjung Karang

Polis gempur sebuah inap desa di Tanjung Karang, Selangor yang dijadikan rumah transit untuk menyembunyikan PATI pada Khamis.
Polis gempur sebuah inap desa di Tanjung Karang, Selangor yang dijadikan rumah transit untuk menyembunyikan PATI pada Khamis.
A
A
A

TANJUNG KARANG - Polis menggempur sebuah rumah inap desa di sini, pada Khamis, yang dijadikan sebagai rumah transit atau penampungan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Operasi Op Pintas kira-kira jam 9.45 malam itu dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Balai Polis Kuala Selangor.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi membanteras sindiket penyeludupan migran itu berjaya menahan 48 warga Indonesia termasuk 14 wanita dan tiga kanak-kanak berusia lingkungan enam hingga 51 tahun.

"Siasatan mendapati dua lelaki berperanan sebagai penjaga premis dan tekong darat.

"Dipercayai PATI yang ditahan ini membayar antara RM1,500 hingga RM3,000 untuk diseludup keluar ke Indonesia," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, dipercayai kegiatan sindiket terbabit telah aktif sejak Disember tahun lalu.

Katanya, modus operandi sindiket ialah membawa migran terbabit ke lokasi pelepasan dan bertolak ke Indonesia melalui jalan laut.

"Fokus operasi ini adalah untuk membanteras rangkaian sindiket penyeludupan migran yang aktif di kawasan negeri Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," uarnya.