Masih ada halangan walau skor rasuah bertambah baik - C4 Center

Skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 yang dikeluarkan Transparency International (TI) mencatatkan peningkatan kepada tangga 50 mata berbanding 47 mata pada 2022.
Skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 yang dikeluarkan Transparency International (TI) mencatatkan peningkatan kepada tangga 50 mata berbanding 47 mata pada 2022.
A
A
A

SHAH ALAM - Skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2023 yang meningkat buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun kepada 50 mata menandakan satu langkah ke arah perubahan positif tentang bagaimana rasuah dilihat di negara ini.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) berkata, peningkatan markah itu boleh dianggap sebagai tanda kemajuan ke arah tadbir urus dan ketelusan yang lebih baik.

Bagaimanapun, pihaknya melihat masih ada pelbagai halangan yang Malaysia alami dalam memerangi rasuah.

“Walaupun markah itu satu perubahan yang baik, namun perlu diingat bahawa 2023 bukanlah tahun yang lancar bagi Kerajaan Perpaduan, khususnya apabila dikritik hebat kerana bersikap ‘pilih kasih’ dalam menyelesaikan kontroversi yang melibatkan ahli politik berprofil tinggi.

“Sebagai contoh, keputusan pelik Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk menghentikan 47 pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beliau kemudiannya diberikan perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA).

“Begitu juga, keputusan untuk mendakwa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas dakwaan rasuah dalam kes Jana Wibawa, namun Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang pada masa itu menjadi Menteri Kewangan dan kini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri tidak didakwa sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

C4 Center menambah, pendakwaan baru-baru ini terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudin serta ahli Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan juga mencetuskan kritikan, dengan ramai yang mendakwa ia adalah pendakwaan terpilih atau membalas dendam terhadap musuh politik.

Justeru katanya, pembaharuan diperlukan dalam menjamin kebebasan institusi membanteras rasuah negara daripada pengaruh Eksekutif, jika tidak tindakan sedemikian hanya akan dicemari oleh persepsi motif politik.

Artikel Berkaitan:

“Ia pastinya menjadi penghalang besar bagi usaha anti rasuah kerajaan dalam jangka panjang tanpa adanya persetujuan daripada semua masyarakat, tanpa mengira fahaman politik.

“Memandangkan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengangkat Malaysia ke 25 negara teratas bagi penarafan CPI dalam tempoh 10 tahun akan datang, adalah penting bagi Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan reformasi antirasuah yang sebenar dan substantif.

“Berdasarkan perkembangan ini, C4 menyeru kerajaan untuk mengutamakan pembaharuan kritikal yang tertumpu kepada memastikan kebebasan terhadap institusi dan entiti awam yang berkaitan,” jelasnya.

C4 Center juga yakin jika kebebasan diberikan kepada institusi berkenaan, mereka akan bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Katanya, ia sekali gus akan merapatkan jurang berterusan dalam tadbir urus awam dan memberikan peningkatan ketara kepada skor CPI pada masa depan.

‘Terus tingkat skor CPI bagi jamin tadbir urus baik’- CSO

Dalam pada itu, kerajaan digesa terus meningkatkan CPI yang dikeluarkan oleh TI bagi menjamin elemen ketelusan dan akauntibiiti dalam tadbir urus negara.

CSO Platform for Reform dalam satu kenyataan berkata, walaupun Malaysia mencatatkan peningkatan kepada tangga 50 mata berbanding 47 mata pada 2022, namun terdapat ruang penambahbaikkan yang boleh dilakukan.

Menurutnya, menerusi penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOIA) mampu meningkatkan integriti pentadbiran negara.

“Kami mengesyorkan proses perundingan yang komprehensif dan inklusif dengan pihak berkepentingan yang berkaitan.

“Akta FOIA penting bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam dapat dipertingkatkan dan memastikan orang ramai turut mendapat akses kepada maklumat lebih sahih daripada kerajaan melalui pindaan Akta 88.

“Ini penting bagi memastikan kerajaan benar-benar serius tentang agenda mencapai sifar rasuah,” katanya pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, skor Malaysia dalam CPI 2023 yang dikeluarkan TI mencatatkan peningkatan kepada tangga 50 mata berbanding 47 mata pada 2022.

Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, penambahan mata itu sekali gus meletakkan negara di kedudukan tangga ke-57 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-61 pada CPI 2022.

Ujar beliau, skor negara meningkat kepada tiga mata setelah jatuh enam mata dalam tempoh tiga tahun lalu sejak 2019.

Mengulas lanjut, CSO Platform for Reform berkata, bagi membuktikan integriti negara dalam membendung isu rasuah, pengisytiharan harta sama ada menteri atau pegawai tadbir perlu dilaksanakan bagi meraih kepercayaan awam terhadap keadilan dan ketelusan kerajaan.

Ulasnya, kewujudan unit pengisytiharan harta bebas perlu diasingkan daripada Jabatan Perdana Menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya pihak berkuasa mendapat akses penuh bagi memudahkan siasatan.

“Model ini boleh dilihat di Singapura di mana negara itu menubuhkan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) bagi tujuan menjalankan audit rawak untuk mengesahkan ketepatan pengisytiharan harta,” ujarnya.