Warga asing berseluar dalam ditahan

Sebahagian warga asing yang ditahan dalam Ops Selera atas pelbagai kesalahan.
Sebahagian warga asing yang ditahan dalam Ops Selera atas pelbagai kesalahan.
A
A
A

MELAKA - Cubaan seorang pendatang tanpa izin (PATI) yang hanya berseluar dalam bersembunyi di sebalik almari kayu berjaya dihidu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka dalam Ops Selera di sini, pada awal pagi Khamis.

Lelaki Warga Bangladesh berusia 25 tahun itu antara 134 orang warga asing yang ditahan termasuk 101 lelaki Bangladesh, 25 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, serta enam lelaki Myanmar dan seorang lelaki Nepal.

Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 48 tahun selepas pemeriksaan dokumentasi yang dilakukan ke atas Seramai 192 orang warga asing.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan terdapat segelintir warga asing yang cuba melarikan diri dan ada yang bersembunyi di celah kayu dan almari namun berjaya ditahan anggota penguat kuasa.

Katanya, hasil pemeriksaan juga mendapati antara kesalahan yang dikesan kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini dan memiliki suatu dokumen atau pas yang disyaki palsu.

PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Machap Umboo untuk siasatan lanjut.
PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Machap Umboo untuk siasatan lanjut.

"Ada premis terpaksa dipecahkan kerana tidak mendapat kerjasama dari penghuni.

"Kesemua yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Machap Umboo dan JIM akan mengesan majikan yang menggaji atau melindungi warga asing," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, operasi yang bermula jam 11 malam dan berakhir jam 3 pagi itu, telah menyerbu sembilan penempatan warga asing sektor pembinaan di sekitar Kelemak, Alor Gajah dan Taman Desa Bertam.

Ujarnya, kebanyakan penempatan yang diserbu agak padat dan kotor selain menimbulkan rasa tidak selamat dan mengganggu keselesaan penduduk setempat.

"Sebanyak enam saman turut dikeluarkan kepada saksi untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya lagi.