Kosongkan kerusi atau berdepan PRK - Dr Afif

Dr Afif Bahardin
Dr Afif Bahardin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memastikan kesemua enam wakil rakyat mereka yang ‘berpaling tadah’ dengan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikenakan tindakan undang-undang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin berkata, mereka akan menggerakkan apa sahaja cara dan kaedah dalam lingkup perundangan dan politik.

Menurutnya, langkah itu dibuat bagi memastikan kerusi Parlimen Labuan, Kuala Kangsar, Bukit Gantang, Gua Musang, Jeli dan Tanjung Karang dapat dikosongkan seperti yang termaktub dalam Akta Anti Lompat Parti bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil (PRK) dalam tempoh terdekat.

“Saya menyelar kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang mencabar parti untuk memecat beliau.

“Jadi, saya cabar untuk segera mengosongkan kerusi. Hakikatnya, Bersatu mempunyai ramai lagi tokoh yang mampu untuk mewakili dan menjaga kebajikan rakyat Labuan walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai bentuk tekanan dan intimidasi daripada pentadbiran Perdana Menteri dan Kerajaan Campuran Pakatan Harapan-BN,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Dr Afif yang baharu dilantik menganggotai MPT Bersatu pada Ahad lalu, merakamkan penghargaan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau turut berdoa agar diberikan kekuatan dalam menggalas tanggungjawab besar itu bagi memperkukuh dan memajukan parti pada masa mendatang.

“Selain terus memperkukuh hala tuju dan asas perjuangan parti, peranan yang diberikan kepada saya ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi saya terus menjuarai isu rakyat terutamanya dalam agenda membela kebajikan rakyat serta membangun polisi keterjaminan masa depan (future-proof) buat orang muda di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Bersatu dalam kerangka Perikatan Nasional akan terus menjadi parti ulung bagi mewakili dan membela masyarakat Bumiputera serta keseluruhan rakyat Malaysia tanpa mengira ras dan agama,” jelasnya.

Tambah Dr Afif, beliau dan rakan-rakan akan menggerakkan satu inisiatif bagi mendekati golongan muda terutamanya dalam kalangan profesional muda serta mahasiswa.

Jelasnya, ia bagi memperjelaskan prinsip perjuangan parti dan memperkenalkan tokoh-tokoh pimpinan muda dalam Bersatu kepada masyarakat.

“Inisiatif ini bermatlamat bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam kalangan professional muda dan mahasiswa dalam wadah perjuangan murni parti Bersatu,” katanya.