Sampel darah pemandu kereta terbabit kemalangan diambil

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

BAGAN SERAI - Polis sudah mengambil sampel darah pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan di Jalan Alor Pongsu dekat Kampung Matang Jelutong di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, ujian akan dilakukan bagi mengesan sama ada lelaki berusia 52 tahun terbabit berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah ketika kemalangan berlaku.

"Sampel akan dihantar ke Jabatan kimia untuk ujian.

"Buat masa ini, belum dapat dipastikan sama ada pemandu itu mabuk atau tidak semasa kejadian," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Beliau berkata, polis telah mengambil keterangan daripada lelaki itu sebelum membebaskannya dengan jaminan polis.

"Siasatan lanjut dijalankan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam kemalangan pada jam 9.41 malam itu, mangsa, Puteri Kasih Maisara, 6, maut dipercayai akibat lemas selepas tercampak ke dalam parit.

Kejadian berlaku apabila motosikal dibonceng mangsa bersama tiga yang lain dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Proton Persona dipandu seorang lelaki.

Artikel Berkaitan:

Juna berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri dalam parit disahkan meninggal dunia di Hospital Parit Buntar semasa dihantar untuk rawatan.

Katanya, ibu mangsa berusia 32 tahun yang menunggang motosikal bersama dua lagi pembonceng iaitu remaja perempuan berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun cedera parah di muka dan kepala.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta dari arah Alor Pongsu menghala ke Simpang Lima melanggar bahagian belakang motosikal dinaiki empat sekeluarga itu.

"Pelanggaran menyebabkan motosikal yang berada di laluan kiri jalan terbabas dan terjunam ke dalam parit yang dipenuhi air," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Kerian, Inspektor Marzuki Mat di talian 013-9116222 bagi membantu siasatan.