Suami mengamuk isteri tak bantu buat kerja rumah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

AMPANG - Berang kerana tidak membantu buat kerja rumah, seorang lelaki bertindak keterlaluan memukul isteri sehingga mendatangkan kecederaan dalam satu kejadian pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek mengamuk apabila isteri dipercayai tidak membantunya membuat kerja rumah.

Beliau berkata, berlaku pertengkaran antara kedua suami isteri tersebut di rumah di Pandan Perdana, dekat sini jam 9.30 pagi.

"Akibat daripada pertengkaran, suspek telah bertindak merosakkan komputer riba milik mangsa dan memukulnya sehingga mendatangkan kecederaan pada bahagian tangan kanan.

"Motif kejadian adalah disebabkan suspek berang apabila isterinya tidak membantunya membuat kerja rumah.

"Mangsa (isteri) bekerja sebagai pereka dalaman," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Berikutan kejadian itu, kata beliau, sepasukan polis daripada bahagian siasatan jenayah Ampang Jaya telah membuat tangkapan melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun pada Selasa jam 6.20 petang di Pandan Perdana.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki tersebut tidak bekerja dan ujian air kencing ke atas suspek adalah negatif dadah.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, semakan yang dijalankan turut mendapati suspek tiada rekod lampau.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Ampang telah dibenarkan selama tiga hari hingga Jumaat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga merujuk kepada kesalahan boleh tangkap.

"Selain itu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan khianat," ujarnya.