Teknofobia pada tahun 2020

A
A
A

TAHUN 2020 membawa seribu harapan untuk dijayakan. Ia juga membawa pelbagai cabaran. Andai impian tahun 2019 gagal digapai dengan keupayaan dan kebolehan diri yang ada, maka penambahbaikan perlu dilakukan dan tahun 2020 mungkin wadah terbaik untuk mencapainya.

Bagaimanapun, kesemua ini menuntut perubahan dan ia semestinya bermula dari dalam diri kita sendiri. Industri 4.0 yang bermula seiring dengan kehadiran 2020 menjanjikan agenda utama iaitu perubahan ketara dalam kehidupan manusia.

Sejajar perkembangan teknologi, konsep penyampaian perkhidmatan bakal berubah kepada cabaran yang lebih kompleks, justeru menuntut pekerja merangka strategi pembangunan kerjaya baru.

Internet Untuk Segalanya (IoT), kemahiran data analitik, keselamatan siber serta kesiapsiagaan pekerja mendepani arus perubahan yang perlu diberi perhatian oleh majikan dalam merangka pelan strategi pembangunan modal insan yang lebih berkesan.

Antaranya adalah melalui pemerkasaan perancangan strategik sumber manusia dengan memberi tumpuan kepada strategi mengekalkan bakat dalam organisasi.

Bakat yang dimaksudkan ialah warga yang berupaya mengadaptasi perubahan, bersikap positif dan bersedia menerima tanggungjawab yang lebih besar dan kritikal.

Realiti dalam era perkembangan teknologi maklumat yang tidak boleh dikesampingkan adalah apabila organisasi menjadi semakin kompleks, strategi pengecilan, pengurangan hierarki, penggabungan dan pengambilalihan pasti berlaku.

Apabila pengalaman ini dirasai oleh organisasi, individu yang berada di dalamnya akan berhadapan dengan pelbagai perubahan seperti terpaksa melakukan tugas yang pelbagai atau menerima beban tugas yang lebih banyak daripada sebelumnya. Ini sedikit sebanyak mewujudkan stres dalam diri individu.

Artikel Berkaitan:

Stres akibat perubahan persekitaran pekerjaan itu ditambah pula dengan isu kewangan atau beban hutang individu dijangka menjadi penyebab utama penyakit pekerjaan 2020.

Di sudut lain, bukan semua warga berlapang dada menerima dan mengikuti perubahan teknologi. Teknofobia tercetus dalam kalangan mereka yang sukar menerima perubahan teknologi. Teknofobia berterusan mengakibatkan teknostres yang menjadi semakin ketara menjelang 2020.

Kebergantungan manusia kepada teknologi komunikasi mulai tahun 2020 adalah bagai isi dan kuku. Atas doktrin kebebasan bersuara dan berkomunikasi, teknologi komunikasi juga disalahgunakan. Ada individu gemar mereka-reka cerita, menyebar ‘fakta’ yang auta.

Tambah mengharu-birukan keadaan apabila tiada pihak yang mahu bertanggungjawab ke atas maklumat palsu yang telah tersebar itu.

Penyalahgunaan kebebasan bersuara ini adalah suatu gelagat yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah fitnah dan berita palsu yang mungkin terhasil daripada komunikasi itu mampu menghancurkan kehidupan peribadi, organisasi dan negara.

Tahun 2020 bakal memperlihatkan pelbagai cabaran persekitaran, janganlah dibiarkan persekitaran itu mengawal kehidupan kita. Jadilah seseorang yang berupaya mengawal persekitaran dan menentukan hala tuju kehidupannya sendiri.

Di pihak warga pula, kesetiaan dan ketaatan yang ditunjukkan kepada organisasi tidak seharusnya mencetuskan masalah stres dan tekanan mental kepada mereka.

Janganlah juga sentiasa berharap sesuatu yang indah akan diberikan oleh organisasi bagi membalas kesetiaan tersebut. Organisasi tidak mampu menjanjikan bulan dan bintang sepanjang masa.

Moga tahun 2020 mencetuskan genderang dalam semangat dan kehidupan yang mampu melakarkan seribu warna dan keindahan.

Selamat menyambut kehadiran tahun 2020!

* Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia