[VIDEO] Bekas SU UMNO Bandar Tun Razak didakwa buat hantaran jelik

A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Abd Zarin Mohd Yasin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan membuat dan memulakan hantaran jelik mengenai urusan pembelian vaksin, empat tahun lalu.

Abd Zarin, 72, yang lebih dikenali sebagai 'Sang Kelembai' selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, N Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, blogger berkenaan didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi Facebook dengan menggunakan Facebook 'Zaharin Mohamad Yasin', pada jam 2.03 pagi, 21 Disember 2020.

Hantaran itu dibaca di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, pada jam 3 petang, 22 Disember tahun sama.

Abd Zarin (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, bagi menghadapi satu pertuduhan membuat dan memulakan hantaran jelik mengenai urusan pembelian vaksin, empat tahun lalu.
Abd Zarin (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, bagi menghadapi satu pertuduhan membuat dan memulakan hantaran jelik mengenai urusan pembelian vaksin, empat tahun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan, jika didapati bersalah.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan, tidak membuat sebarang hantaran mengenai kes itu.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Abu Bakar Isa Samat mewakili Abd Zarin, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar yang rendah kerana dia merupakan seorang pesara syarikat swasta dan pernah bekerja sebagai pengamal media.

Artikel Berkaitan:

"Dia juga merupakan seorang penyakit kencing manis yang kronik dan darah tinggi, selain mempunyai empat anak yang mana seorang daripadanya masih menuntut di universiti,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Priscilla Hemamalini membenarkan OKS diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes 26 Februari depan.