FoodUnites 2024 inisiatif perkenal makanan tradisi, simbol perpaduan

Orang ramai dijemput beramai-ramai ke FoodUnites 2024 di Kuching Waterfront, Sarawak.
Orang ramai dijemput beramai-ramai ke FoodUnites 2024 di Kuching Waterfront, Sarawak.
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran program FoodUnites 2024 yang akan berlangsung pada 3 dan 4 Februari ini di Kuching Waterfornt, Sarawak menjadi satu lagi inisiatif untuk menghidupkan semula dan mengekalkan makanan warisan sebagai simbol perpaduan di Malaysia.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam kenyataan pada Selasa berkata, secara lebih khusus lagi acara berkenaan menitikberatkan lagi usaha untuk memperkenalkan dan meningkatkan kesedaran terhadap makanan tradisi khususnya dalam kalangan generasi muda.

"FoodUnites bukan hanya sekadar festival makanan, tetapi juga sebuah perhimpunan budaya yang merentasi waktu, membawa kehidupan kepada cerita di sebalik setiap hidangan, dan mengajak masyarakat untuk menghargai kekayaan kuliner yang menjadi warisan kita.

"Mari bersama-sama menjelajah dan menghormati keunikan cita rasa Malaysia melalui program ini dengan menjadikan makanan sebagai jambatan penyatupaduan di tengah kepelbagaian kita," kata kenyataan itu.

Program berkenaan dijangka dirasmikan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang pada 3 Februari ini.

Sementara itu, KPN dalam kenyataan sama turut memaklumkan, Laksa Sarawak ditampilkan sebagai makanan utama bagi program berkenaan selain enam lagi makanan tradisi lain yang mewakili setiap kaum.

Enam makanan itu terdiri nasi lemak, char kuetiau, nasi beriani, latok, ayam pansuh dan kek lapis.

"Seluruh masyarakat Malaysia, terutamanya masyarakat di Sarawak dijemput berkunjung ke FoodUnites dan menyemarakkan lagi program ini dengan semangat serta satu tujuan yang sama, iaitu memperkukuh perpaduan di antara kita semua.

Artikel Berkaitan:

“Jangan lepaskan peluang untuk hadir ke program ini bersama-sama keluarga dan sahabat handai, masuk adalah percuma! bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam pada 3 dan 4 Februari ini,” katanya.