Ayam masak lemak disyaki punca keracunan

Laporan Sinar Harian berhubung kes keracunan makanan membabitkan 137 guru Pasti hari ini.
Laporan Sinar Harian berhubung kes keracunan makanan membabitkan 137 guru Pasti hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Lauk ayam masak lemak disyaki menjadi punca keracunan melibatkan 137 guru tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di sebuah pusat latihan di Cheras di sini hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menerima laporan mengenai kes keracunan makanan melibatkan guru-guru tadika Pasti seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang sedang menghadiri kursus di sebuah pusat latihan tersebut.

"Makanan yang disyaki penyebab kejadian keracunan ini ialah ayam masak lemak yang dihidangkan pada waktu makan malam di dewan pusat latihan itu pada hari kejadian.

"Sampel klinikal daripada kes-kes serta sampel makanan telah diambil dan dihantar ke makmal untuk dianalisa. Siasatan lanjut masih dilakukan oleh pihak Pejabat Kesihatan Cheras (PKC) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, media melaporkan mangsa dikejarkan ke Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM) setelah mengalami gejala muntah, sakit perut dan cirit-birit dipercayai akibat keracunan.

ARTIKEL BERKAITAN: 137 guru Pasti keracunan makanan ketika kursus

Guru terbabit adalah antara 280 guru tadika Pasti seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menghadiri kursus di sebuah pusat latihan di Cheras.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, berdasarkan maklumat awal yang diterima oleh PKC pada jam 3.03 petang, seramai 137 guru mengalami gejala sama namun hanya empat guru dimasukkan ke wad.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, baki 133 guru yang terlibat didapati berada dalam keadaan stabil dan mereka telah diberikan rawatan sebagai pesakit luar.

"Untuk makluman, premis dapur kafeteria pusat latihan berkenaan telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan siasatan lanjut dan disinfeksi keseluruhan premis. Ia akan dibuka semula sebaik sahaja penambahbaikan dibuat oleh pihak pengurusan kafeteria tersebut.

"Pihak pengurusan kafeteria juga diminta untuk menyimpan 'holding sample' bagi setiap kali kursus dijalankan di pusat berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, orang ramai tidak perlu khuatir dengan kejadian wabak yang berlaku kerana keadaan adalah terkawal.

Tambah beliau, orang ramai juga dinasihati untuk mengamalkan langkah lihat, hidu dan rasa sebelum mengambil makanan bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan.

"Orang ramai juga perlu sentiasa mengamalkan kebersihan diri seperti membasuh tangan sebelum mengendalikan makanan dan selepas menggunakan tandas," katanya.