Bidaan nombor pendaftaran istimewa 'GOLD' dibuka 1-5 Februari

Anthony menunjukkan antara nombor istimewa siri GOLD yang ditawarkan sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50. Foto Bernama
Anthony menunjukkan antara nombor istimewa siri GOLD yang ditawarkan sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bidaan bagi Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri GOLD sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50 dilaksanakan pada 1 Februari hingga 5 Februari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bidaan itu boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem JPJeBid bagi orang awam dan keputusan akan diumumkan pada 6 Februari.

"NPI ialah tanda indeks yang mempunyai prefix (hadapan) iaitu siri GOLD yang melambangkan sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50. Ia dibuka untuk bidaan pada 1 Februari bermula jam 12 tengah hari hingga 5 Februari jam 10 malam.

"Harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minimum yang telah ditetapkan iaitu bagi nombor bernilai utama bermula RM20,000, nombor menarik bermula RM3,000, nombor popular bermula RM800 manakala nombor biasa bermula RM300,” katanya dalam sidang media NPI pada Selasa.

Anthony berkata, penawaran melalui Sistem JPJeBid ini juga merupakan usaha Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam merealisasikan penyampaian perkhidmatan pendigitalan sepenuhnya.

Tambahnya, bidaan bagi siri NPI adalah bertujuan untuk menambah hasil negara iaitu kesemua hasil bidaan NPI kelak akan dimasukkan ke dalam akaun disatukan dengan 50 peratus daripada hasil tersebut akan dikembalikan semula kepada MOT.

Anthony (tengah) menunjukkan antara nombor istimewa yang ditawarkan pada sidang media di Kementerian Pengangkutan pada Selasa. Foto Bernama
Anthony (tengah) menunjukkan antara nombor istimewa yang ditawarkan pada sidang media di Kementerian Pengangkutan pada Selasa. Foto Bernama

"MOT akan gunakan dana ini untuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat dan pemegang taruh di bawah MOT, antaranya bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar dan subsidi FLYsiswa.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kami juga akan laksanakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi semua pemandu teksi seluruh negara sejurus selepas dapat hasil bidaan NPI siri GOLD ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, perincian mengenai caruman PERKESO itu akan diumumkan kemudian selepas memperoleh hasil bidaan NPI siri GOLD ini.

"Rekod yang pernah kami dapat paling tinggi adalah bidaan bagi siri FF iaitu sebanyak RM35 juta. Saya rasa bagi siri GOLD ini lebih ramai peminatnya, jadi kami perkenalkan siri ini bertepatan dengan sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan dan berharap hasilnya akan melebihi hasil siri FF,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan MOT dengan hasil kutipan bidaan telah banyak membantu rakyat antaranya bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan berharga RM599 dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Inisiatif ini dilaksanakan pada sambutan Krismas tahun lepas yang telah memanfaatkan seramai 6,369 penumpang. Jumlah subsidi yang kerajaan tanggung bagi inisiatif ini sebanyak RM2.7 juta dengan purata subsidi bagi setiap tiket sebanyak RM429. Inisiatif ini akan diteruskan untuk Tahun Baharu Cina dan Hari Raya kelak.

"Selain itu, inisiatif tambang percuma KTM komuter sempena sambutan Thaipusam selama 48 jam telah beri manfaat kepada 300,325 penumpang yang semuanya menghala ke Batu Caves,” katanya.

Tambahnya, meskipun terdapat sedikit kelemahan disebabkan terdapat kejadian pokok tumbang menyebabkan berlakunya kelewatan tren dan frekuensi terjejas namun ia akan terus ditambah baik pada masa akan datang. - Bernama