Bawa isu kebebasan bersuara di media sosial ke Parlimen - Wan Saiful

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencadangkan agar isu berkenaan sekatan kebebasan bersuara di media sosial perlu dibincangkan di peringkat Parlimen.

Beliau berkata, dalam perbincangan itu nanti, Jawatankuasa Pilihan Khas perlu menjemput bukan sahaja agensi kerajaan yang berkaitan, tetapi turut menjemput pengamal media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, dan penggiat media sosial, agar situasi sebenar kebebasan bersuara dalam negara dapat dikenal pasti.

"Hari ini, saya hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi di Parlimen.

“Dalam mesyuarat itu, saya mengusulkan satu perbincangan mendalam mengenai sekatan kebebasan bersuara di media sosial,” katanya menerusi Facebook pada Selasa.

Wan Saiful berkata, perkara itu penting untuk diketengahkan kerana pihaknya berasakan kebebasan bersuara di Malaysia semakin merudum.

“Sudah banyak kes yang kita dengar mengenai penggunaan agensi kerajaan untuk mengekang kritikan terhadap kerajaan.

“Saya akan susuli cadangan ini dengan permintaan bertulis supaya isu kebebasan bersuara dijadikan salah satu agenda rasmi mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas.

“Saya harap Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mempersetujui cadangan saya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: