Diseret 10 meter ketika 'selamatkan' kereta dilarikan penjenayah

Mangsa cedera akibat diseret ketika cuba 'menyelamatkan' kereta miliknya yang dilarikan penjenayah. Foto ihsan PDRM
Mangsa cedera akibat diseret ketika cuba 'menyelamatkan' kereta miliknya yang dilarikan penjenayah. Foto ihsan PDRM
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang lelaki cedera akibat diseret sejauh 10 meter ketika cuba mengejar penjenayah yang melarikan kereta Perodua Kelisa miliknya yang diletakkan di hadapan sebuah kedai di Jalan Besar Pasir Panjang di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima maklumat kejadian jam 9 pagi daripada mangsa berusia 42 tahun.

"Mangsa mengatakan keretanya dilarikan ketika diletakkan di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Besar Pasir Panjang.

"Dalam kejadian itu, suspek secara tiba-tiba telah masuk ke dalam kenderaannya. Mangsa cuba menghalang suspek dengan berpaut pada keretanya, namun diseret oleh suspek sejauh 10 meter," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa mengalami cedera dan melecet pada bahagian tangan, kaki dan belakang badan.

Ujarnya, dengan tindakan pantas polis, suspek berjaya ditahan kira-kira 10 minit selepas kejadian susulan hebahan dibuat mengenai kes kecurian yang berlaku.

"Suspek lelaki berusia 34 tahun ditahan di Batu 15.5 Pasir Panjang, Port Dickson jam lebih kurang 9.10 pagi.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 18 rekod jenayah lampau dan telah direman empat hari bermula 29 Januari sehingga 1 Februari ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Aidi Sham berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati menjaga harta benda masing-masing serta memastikan kenderaan dimatikan walaupun mahu membeli atau menyelesaikan urusan dalam tempoh singkat.