Bekas pengerusi koperasi Felda mengaku salah palsukan cek

Bekas Pengerusi Felda Selancar 3 mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen Johor Bahru pada Selasa.
Bekas Pengerusi Felda Selancar 3 mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Bekas Pengerusi Koperasi Felda Selancar 3 mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen di sini pada Selasa atas 15 pertuduhan memalsukan cek milik koperasi berkenaan bernilai RM34,450 lima tahun lalu.

Saad Rajali, 66, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, Saad yang ketika itu memegang jawatan Pengerusi koperasi Felda berkenaan didakwa tidak jujur menggunakan cek milik Koperasi Peneroka Felda Selancar 3 Pahang Berhad atas nama lapan peneroka berlainan yang mana adalah palsu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Segamat dengan nilai RM600 sehingga RM5,000 bermula pada 27 September 2019 sehingga 21 Mei 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan jaminan RM14,000 dan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Segamat sebulan sekali serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Pada 25 Mac ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!