SAM sokong tindakan penduduk Taman Chepor Sentosa

Meor Razak menunjukkan kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong yang sudah dinyahwartakan untuk dibangunkan sebagai kawasan pertanian berhampiran Taman Chepor Sentosa di sini.
Meor Razak menunjukkan kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong yang sudah dinyahwartakan untuk dibangunkan sebagai kawasan pertanian berhampiran Taman Chepor Sentosa di sini.
A
A
A

CHEMOR - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyambut baik bantahan yang dibuat penduduk Taman Chepor Sentosa berhubung penerokaan sebahagian hutan Kledang Saiong yang sudah dinyahwarta.

Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, pihaknya bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar lain menyokong penuh usaha dilakukan penduduk untuk mempertahankan kawasan ini daripada diancam kemusnahan.

"Penduduk taman perumahan mengadakan dua perbincangan dengan NGO alam sekitar yang membawa kepada penubuhan jawatankuasa bertindak menangani isu tersebut.

"Isu ini diketengahkan pada awal Disember lalu oleh SAM, namun tidak mendapat maklum balas yang memuaskan hati daripada pihak berkuasa negeri," katanya kepada media hari ini.

Menurutnya, cadangan pembangunan tersebut bercanggah dengan pengisytiharan Lembah Kinta sebagai kawasan Geopark Kebangsaan yang menetapkan mana-mana kawasan hutan yang belum diteroka perlu dipelihara.

"Kawasan ini asalnya Hutan Simpan Kekal Kledang Saiong tetapi dimansuhkan pada tahun 2010 dan diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) untuk membangunkan kawasan pertanian," katanya.

Dalam pada itu Meor Razak berkata, pihaknya turut mempertikaikan jawatan PKNP menerusi kenyataan media mendakwa kerja-kerja pembersihan hutan tersebut mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Awal Kepada Alam Sekeliling (EIA) pada 2009.

"Perkara ini bercanggah dengan syarat Jabatan Alam Sekitar bahawa kelulusan EIA hanya sah untuk tempoh dua tahun. PKNP seharusnya mendapatkan kelulusan EIA baharu bagi projek yang sedang diusahakan di hutan Kledang Saiong," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau menggesa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengambil langkah segera untuk mengatasi isu tersebut.

"Alasan kerajaan bahawa projek tersebut diluluskan kerajaan terdahulu tidak boleh dijadikan lesen membenarkan penerokaan hutan tersebut kerana Menteri Besar Perak mempunyai kuasa mewartakan semula kawasan itu.

"Kita pernah mengutarakan perkara ini ketika perjumpaan bersama Ahmad Faizal sebelum ini. Malah beberapa surat yang pernah dihantar sebelum ini juga tidak mendapat respon," katanya.

Sementara itu, Pejabat Menteri Besar Perak berkata, pihaknya akan melihat perkara tersebut selepas mendapat kenyataan daripada PKNP mengenai isu yang dibangkitkan penduduk di Taman Chepor Sentosa itu.