Kes Zayn Rayyan: 'Cari maklumat sekecil mana pun' - Pengarah JSJ

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohd Shuhaily
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohd Shuhaily
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Polis sedang meneliti segala bahan bukti yang dikumpul berhubung kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, setakat ini tiada perkembangan terbaharu berhubung kes tersebut.

"Kita tidak pernah berhenti menyiasat, kita masih berada di lapangan dan berjumpa dengan masyarakat di lokasi kejadian sekiranya mereka ada tertinggal sebarang maklumat yang sekecil mana pun," katanya ketika sidang akhbar selepas program dialog awam bersamanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata, polis sudah merekodkan keterangan lebih 200 orang berkaitan kes pembunuhan kanak-kanak itu.

"Lebih 200 orang kita panggil. Sejak awal-awal kita sudah siasat kedua-dua blok sebab itu, memang ramai.

"Buat masa ini tiada perkembangan baharu, kita masih menilai bahan bukti yang dikumpul," katanya.

Pada 9 Januari lalu, media melaporkan siasatan polis sudah melepasi 90 peratus keseluruhan siasatan termasuk dalam elemen forensik, patologi, keterangan saksi dan siasatan di tempat kejadian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, tumpuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini terarah kepada semua maklumat yang dikumpul sepanjang siasatan.

Artikel Berkaitan:

Langkah itu dibuat susulan hasil siasatan forensik pada masa ini yang dikategorikan berkesudahan secara negatif.

PDRM menerusi JSJ adalah meneliti dan mengkaji semula maklumat risikan yang ada selain mengumpul maklumat-maklumat yang baru.

Pada 6 Disember lalu, mangsa berusia enam tahun itu ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, sekitar jam 10 malam.

Zayn Rayyan dipercayai dibunuh itu ditemui oleh pihak berkuasa dan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Hasil siasatan forensik dan patalogi Hospital Sungai Buloh, pihak polis mengesahkan Zayn mati akibat kesan kecederaan pada leher dan badan kerana mempertahankan diri.