Kuota penerima Iltizam Selangor Sihat kekal 100,000

Belanjawan Selangor 2024 yang dibentang sebelum ini memperuntuk RM35 juta bagi kesinambungan program ISS.
Belanjawan Selangor 2024 yang dibentang sebelum ini memperuntuk RM35 juta bagi kesinambungan program ISS.
A
A
A

SHAH ALAM - Penerima Iltizam Selangor Sihat (ISS) diminta untuk mengemas kini status permohonan mereka bagi memastikan data kekal relevan untuk dilaksanakan pada tahun ini.

Proses kemas kini senarai penerima juga dilaksanakan bagi memastikan hanya individu yang memenuhi syarat dan masih berada dalam lingkungan polisi ditetapkan menerima manfaat ISS.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, ini bagi mengekalkan integriti dan keberkesanan program ISS dalam memberikan sokongan kepada yang memerlukan.

"Bagi tahun 2024, kuota penerima ISS di Selangor dikekalkan iaitu seramai 100,000 penerima. Penetapan kuota ini mengambil kira keperluan dan keupayaan negeri dalam menyediakan sokongan mencukupi kepada rakyatnya.

"Sehingga 27 Januari, jumlah individu yang telah mendaftar dan mengemaskinikan maklumat sebagai penerima manfaat ISS adalah seramai 324 orang," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Menurut Jamaliah, terdapat dua kategori ahli perlu menjalani proses penyelarasan dan kemas kini iaitu ahli dengan tempoh polisi melebihi dua tahun sehingga 20 Disember dan ahli yang ditamatkan keahlian pada tarikh sama.

Jamaliah (tengah) ketika ditemui pemberita di Shah Alam pada Isnin.
Jamaliah (tengah) ketika ditemui pemberita di Shah Alam pada Isnin.

"Sekiranya masih layak selepas 20 Disember lalu (berdasarkan syarat-syarat kelayakan ISS), ahli tersebut boleh membuat permohonan baharu mulai 1 Februari ini," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, ahli dengan tempoh polisi kurang daripada dua tahun sehingga pada 20 Disember lalu pula perlu mengemaskinikan maklumat peribadi mereka dengan segera bagi mengekalkan keahlian mereka dalam program ISS.

"Kemas kini maklumat peribadi bagi ahli masih mempunyai tempoh polisi boleh dilaksanakan melalui dua cara iaitu secara manual melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) atau dalam talian melalui aplikasi Selangkah," katanya.

ISS diperkenal pada 2 Julai dua tahun lalu dengan menyasarkan 100,000 penduduk menerima manfaat membabitkan peruntukan sekitar RM67 juta bawah kluster kesihatan Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Belanjawan Selangor 2024 yang dibentang sebelum ini memperuntuk RM35 juta bagi kesinambungan program ISS yang membantu pemegang polisi mendapat rawatan segera di klinik swasta.

Setiap pemegang polisi ISS layak mendapat rawatan asas dan vaksinasi RM500 setahun bagi kategori keluarga manakala individu RM250 setahun di mana-mana klinik panel seluruh negara.

Sehingga 26 Januari jumlah panel klinik ISS di seluruh negara adalah sebanyak 1,907 manakala panel hospital pula adalah sebanyak 48 buah.