Larangan merokok: 169 notis dikeluarkan di Johor

Penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Johor melakukan pemeriksaan di kedai makan semalam. Gambar kecil: Mohd Khuzzan Abu Bakar
Penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Johor melakukan pemeriksaan di kedai makan semalam. Gambar kecil: Mohd Khuzzan Abu Bakar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Johor mengeluarkan 169 notis membabitkan kompaun sebanyak RM42,250 hasil pemeriksaan 3,146 premis dalam operasi hari keempat larangan merokok di kedai makan di negeri itu.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, notis tersebut dikeluarkan atas kesalahan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 17 notis dikeluarkan terhadap golongan remaja manakala 11 notis kerana didapati bersalah menggunakan rokok elektronik atau vape.

"Dalam operasi sama, 49 notis membabitkan nilai kompaun RM12,250 dikeluarkan kepada pemilik premis di bawah Peraturan 12(1)(a) dan 12(1)(b) PPKHT 2004," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Johor melakukan pemeriksaan di kedai makan semalam.
Penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Johor melakukan pemeriksaan di kedai makan semalam.

Menurutnya, daripada jumlah yang dikenakan notis, 42 notis kesalahan adalah kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan tujuh notis kerana menyediakan kemudahan merokok.

"Pemilik premis hendaklah memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dengan mempamerkan larangan merokok secara jelas.

"Mereka juga dilarang menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pelaksanaan inisiatif berkenaan bukanlah untuk menghukum mana-mana pihak tetapi sebagai langkah untuk mengambil berat terhadap kesihatan masyarakat umum terutama bukan perokok.

“Jabatan akan terus berusaha untuk memastikan kawasan-kawasan larangan merokok bebas asap rokok.

“Kami memohon kerjasama semua pihak mematuhi larangan merokok bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin,” katanya.