'Lumpur tebal atas karpet masjid'

Lebih 500 peserta Ops Pasca Banjir membantu membersihkan kediaman dan bangunan yang terjejas. Foto Facebook Hanafiah Mat
Lebih 500 peserta Ops Pasca Banjir membantu membersihkan kediaman dan bangunan yang terjejas. Foto Facebook Hanafiah Mat
A
A
A

DUNGUN - Lebih 500 peserta Ops Pasca Banjir membantu membersihkan kediaman dan bangunan yang terjejas akibat banjir melanda Kampung Shukor, dekat sini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat berkata, operasi pada jam 8 pagi itu bermula dengan membersihkan masjid dua tingkat di kampung berkenaan.

Selain itu katanya, balai raya, sekolah serta beberapa rumah mangsa yang terkesan akibat bencana itu turut dibersihkan dalam operasi tersebut.

Sebahagian penduduk kampung memberitahu bahawa gelombang banjir keempat pada tahun ini lebih besar berbanding 2014. Sejak 60 tahun tidak berlaku banjir seteruk ini di Kampung Shukor.

Hanafiah (kiri) sedang melakukan kerja pembersihan banjir. Foto Facebook Hanafiah Mat
Hanafiah (kiri) sedang melakukan kerja pembersihan banjir. Foto Facebook Hanafiah Mat

"Malah di masjid yang dibersihkan tadi lumpur setinggi dua kaki lebih atas karpet. Selain itu, operasi pembersihan itu melibatkan peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya.

"Jadi operasi pembersihan kali ini dijalankan di balai raya, sekolah serta lima buah rumah yang terjejas banjir sehingga selesai," katanya kepada pemberita semasa Ops Pasca Banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, pihaknya sedang dalam proses bagi menyalurkan sumbangan kepada mangsa yang terkesan akibat banjir.

Artikel Berkaitan:

Hanafiah (tengah) bersihkan masjid. Foto Facebook Hanafiah Mat
Hanafiah (tengah) bersihkan masjid. Foto Facebook Hanafiah Mat

"Kerajaan negeri akan ambil semua maklumat dan data-data di seluruh daerah, barulah kerajaan negeri akan bincang mengenai bagaimana bantuan akan disalurkan.

"Selain itu kita mengalu-alukan bantuan daripada NGO untuk berikan kepada mangsa yang terjejas banjir," ujarnya.

Jumlah mangsa banjir di Dungun, Terengganu berkurang kepada 782 orang daripada 228 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.

Jumlah itu menurun berbanding 923 orang daripada 275 keluarga seperti yang direkodkan pada 8 malam Ahad.