Pemimpin Bersatu mula tiba di Publika

Mohd Radzi Jidin antara pemimpin Bersatu yang hadir ke Mesyuarat Pimpinan Tertinggi di Publika pada Ahad.
Mohd Radzi Jidin antara pemimpin Bersatu yang hadir ke Mesyuarat Pimpinan Tertinggi di Publika pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin mula tiba di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Publika pada Ahad.

Antara yang kelihatan ialah Naib Presiden, Datuk Mohd Radzi Jidin; Ketua Penerangan, Datuk Razali Idris; Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Selain itu, Ahli MPT yang dilihat hadir ialah Datuk Dr Sahruddin Jamal, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Datuk Abdul Rashid Asari, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Datuk Saifuddin Abdullah.

Mesyuarat kali ini menjadi tumpuan ramai susulan dakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijangka akan memecat Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan digantikan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang juga ahli Bersatu sebelum ini mendedahkan, parti itu kini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ‘Kem Presiden’ dan ‘Kem Setiausaha Agung’.

Perkara itu berlaku susulan tindakan Muhyiddin yang membuat ‘pusingan U’ selepas mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan akan datang.

Rentetan daripada peristiwa itu, Syed Abu Hussin Hafiz mendakwa, ia melemahkan moral ahli yang benar-benar mahu melihat perubahan Bersatu dan difahamkan ramai mahukan Hamzah menerajui parti kerana dilihat berkemampuan serta berkebolehan.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menyangkal dakwaan berkenaan dan menyatakan agenda utama mesyuarat kali ini adalah berkaitan pindaan terhadap perlembagaan parti.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ia susulan tindakan segelintir ahli parlimen yang dilihat menguji keras parti itu, termasuk tindakan terbaharu Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zulkafperi menjadi individu keenam daripada Bersatu berbuat sedemikian selepas Syed Abu Hussin Hafiz, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Syed Abu Hussin Hafiz yang sebelum ini turut melakukan perkara sama juga mengesahkan 10 lagi ahli Bersatu akan mengumumkan sokongan terhadap kerajaan menjelang persidangan Dewan Rakyat bermula pada 26 Februari nanti.

Beliau mendakwa, mereka yang terlibat ialah lima ahli Parlimen dari Utara (Kedah, Perak dan Pulau Pinang), tiga dari negeri Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta dua dari Selangor dan Melaka.