Rumah kampung jadi transit, polis rampas dadah RM2.73 juta

Kumar (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas hasil lima serbuan di Johor, Pulau Pinang dan Pahang, pada Rabu serta Khamis minggu lalu.
Kumar (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas hasil lima serbuan di Johor, Pulau Pinang dan Pahang, pada Rabu serta Khamis minggu lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai lapan individu termasuk dalang sindiket penyeludupan dadah antarabangsa berjaya ditahan hasil lima serbuan di Johor, Pulau Pinang dan Pahang, pada Rabu serta Khamis minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pelbagai jenis dadah dianggarkan sebanyak 83 kilogram (kg) bernilai RM2.73 juta dirampas di Parit Jawa, Muar; Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Muadzam Shah, Pahang.

Kumar (depan) menunjukkan lokasi serbuan di Johor, Pulau Pinang dan Pahang pada sidang media di IPK Johor pada Ahad.
Kumar (depan) menunjukkan lokasi serbuan di Johor, Pulau Pinang dan Pahang pada sidang media di IPK Johor pada Ahad.

Katanya, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor.

"Modus operandi sindiket pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan rumah kampung sebagai transit dan stor penyimpanan dadah sebelum diseludup ke negara jiran melalui jalan laut oleh tekong laut.

Kumar (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Johor pada Ahad.
Kumar (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Johor pada Ahad.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 80 bungkusan plastik syabu dalam bungkusan teh Cina seberat 82.86 kg, pil ekstasi seberat 2.78 gram dan ketamin 2.5 gram dengan nilai rampasan RM2.73 juta.

"Polis turut menyita lapan buah kenderaan, 12 buah motosikal, pelbagai barang kemas, jam tangan mewah dan wang tunai dengan jumlah sitaan RM1.78 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Kumar berkata, kegiatan sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran itu aktif beroperasi sejak Jun tahun lalu.

Katanya, hasil saringan air kencing ke atas kesemua suspek berusia 23 hingga 40 tahun didapati negatif dari sebarang jenis dadah.

"Semakan rekod pula mendapati tujuh suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah termasuk seorang suspek mempunyai rekod orang dikehendaki.

"Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sejak awal tahun hingga Khamis lalu, polis telah merampas 207.58 kg dadah bernilai RM4.32 juta dan menahan seramai 1,644 individu bagi pelbagai kesalahan dadah.