Tiga termasuk dua wanita warga Thailand dalang sindiket dadah ditahan

Antara dadah yang dirampas.
Antara dadah yang dirampas.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki tempatan bersama dua wanita warga Thailand disyaki dalang sindiket pengedaran dadah di negeri ini ditahan, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Md. Nazri Zawawi berkata, penahanan ketiga-tiga individu berusia 25 hingga 27 tahun itu dilakukan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Saga pada jam 8.15 malam.

Menurutnya, hasil serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM650,000.

"Siasatan mendapati sindiket ini telah aktif sejak empat bulan lalu dan kesemua dadah dipercayai untuk pasaran tempatan yang boleh digunakan seramai 69,597 penagih.

"Jenis dadah yang dirampas termasuk cecair ketamin sebanyak 279,840 mililiter (ml), erimin 5 (551 gram (g), ekstasi (26 g), ketamin (6,734 g), serbuk ketamin (5,250 g) dan serbuk ekstasi (1,224 g) keseluruhannya dianggarkan bernilai RMRM650,369," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Tambahnya, turut dirampas sepucuk pistol jenis CZ85 H, sebuah kereta Proton Saga BLM serta barang kemas bernilai kira-kira RM39,147 selain wang tunai RM803.

Ujarnya, hasil ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka negatif dadah namun salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari hingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960," katanya lagi.

Artikel Berkaitan: