Harapan tinggi Selangor FC harungi musim 2024

Johan (tengah) ketika ditemui pada majlis pelancaran kerjasama antara Tik Tok Malaysia dan Selangor FC
Johan (tengah) ketika ditemui pada majlis pelancaran kerjasama antara Tik Tok Malaysia dan Selangor FC
A
A
A

SELANGOR FC meletakkan harapan tinggi kepada pemain untuk beraksi bersama Gergasi Merah bagi menghadapi saingan musim baharu termasuk Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2).

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, selain persiapan rapi, pasukan itu juga memerlukan pemain terbaik untuk menggalas cabaran mereka di pentas Asia itu nanti.

"Ini termasuk mendapatkan pemain bertaraf dunia dan antarabangsa selain bagaimana kita hendak 'mantain' fokus di peringkat kebangsaan dan juga Asia," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kerjasama antara TikTok Malaysia dan Selangor FC yang turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi di Seksyen 7 dekat sini pada Ahad.

Hadir sama, pemain sayap sensasi skuad Harimau Malaya, Mohamad Faisal Abdul Halim dan Pengurus Operasi Strategi TikTok, Darren Quek Yi Fong.

Dari kanan, Derren, Mohd Najwan, Johan dan Mohamad Faisal pada majlis pelancaran kerjasama antara TikTok Malaysia dan Selangor FC pada Ahad.
Dari kanan, Derren, Mohd Najwan, Johan dan Mohamad Faisal pada majlis pelancaran kerjasama antara TikTok Malaysia dan Selangor FC pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan Selangor FC sudah memulakan persiapan untuk menghadapi saingan musim depan apabila telah mengumumkan beberapa pemain yang kekal pada musim depan.

Malah, berita gembira buat penyokong Selangor apabila pihak pengurusan berjaya mengekalkan jeneral tengah Jordan, Noor Al-Rawabdeh yang kini cemerlang bersama pasukan kebangsaannya dalam Piala Asia.

Artikel Berkaitan:

Selain itu beberapa tonggak utama dan muda seperti Sam Somerville, Azrin Afiq, Fazly Mazlan, Izwan Yuslan antara pemain yang akan meneruskan khidmat mereka bersama Selangor musim depan.

Selain itu, Johan turut mengesahkan kehadiran pemain baharu ke dalam pasukan, namun senarai pemain hanya akan dimuktamadkan dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi.

"Kita dalam pecutan terakhir dalam peringkat perbincangan (pemain), dengan kontrak ditawarkan, kita akan memuktamadkan (pemilihan pemain) dalam masa dua minggu ini dan ada pertambahan (pemain).

"Kita akan bawa masuk beberapa muka baharu dan proses untuk membawa pemain ini kita akan teliti iaitu dari segi persembahan mereka di padang termasuk kelakuan di luar padang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!