Alumni MRSM Kuala Krai diberi penghormatan sampaikan sijil graduasi

Para hadirin dan kenamaan yang bergambar pada Majlis Graduasi MRSM Kuala Krai ke-20.
Para hadirin dan kenamaan yang bergambar pada Majlis Graduasi MRSM Kuala Krai ke-20.
A
A
A

KUALA KRAI - Selepas melahirkan ramai cendekiawan dan golongan profesional dalam pelbagai bidang, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai memberi penghormatan kepada alumni sulungnya menyampaikan sijil sempena Majlis Graduasi ke-20 Khamis lalu.

Ts Dr Nik Mohd Khairuddin Nik Ismail yang juga Pensyarah Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi berkenaan turut merasmikan majlis di hadapan guru yang pernah bersama-sama mendidik beliau semasa belajar di MRSM tersebut 20 tahun dulu.

Nik Mohd Khairuddin berkata, perkara itu menjadi satu penghormatan yang unik dan beremosi selain mengimbau kembali Majlis Graduasi pertama MRSM Kuala Krai berlansung pada 6 November 2003.

“Pada majlis pertama itu, seramai 151 graduan menerima sijil termasuk saya.

“Selepas 20 tahun ini, saya pula menyampaikan sijil graduasi kepada 135 pelajar, ibarat sireh pulang ke ganggang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ts Dr Nik Mohd Khairuddin berucap pada Majlis Graduasi MRSM Kuala Krai ke-20 pada Khamis.
Ts Dr Nik Mohd Khairuddin berucap pada Majlis Graduasi MRSM Kuala Krai ke-20 pada Khamis.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kelantan, Fazli Rizal Ismail.

Majlis turut memberikan beberapa anugerah kepada para pelajar dengan penganugerahan istimewa seperti Anugerah Khas Terbaik Subjek, Anugerah Khas Pencapaian Terbaik SPM-MRSM, Anugerah Khas Pelajar Karismatik, Anugerah Khas Terbaik Kokurikulum, Anugerah Khas Terbaik Kepimpinan, Penerima Anugerah Khas Terbaik Akademik, dan Anugerah Khas Pelajar Holistik.

Artikel Berkaitan:

Nik Mohd Khairuddin berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dengan kepakaran dalam bidang kejuruteraan seni bina kapal dan struktur terapung luar pantai.

Nik Mohd Khairuddin (dua dari kiri) menerima cenderamata disampaikan oleh Pengetua MRSM Kuala Krai, Ismail Deraman (dua dari kanan).
Nik Mohd Khairuddin (dua dari kiri) menerima cenderamata disampaikan oleh Pengetua MRSM Kuala Krai, Ismail Deraman (dua dari kanan).

Beliau memulakan perjalanan pendidikan menengahnya di MRSM Kuala Krai pada tahun 2002.

“Tahun itu pertama MRSM Kuala Krai beroperasi dan kami adalah kumpulan pelajar pertama di MRSM Kuala Krai tersebut.

“Saya mengingatkan para pelajar untuk terus menghargai peluang pendidikan yang disediakan di MRSM dan berusaha untuk meraih lebih banyak kejayaan pada masa depan,” ujarnya.