PRU16: UMNO ada peluang menang kerusi Bersatu - Ahmad Maslan

Ahmad. Foto Bernama
Ahmad. Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN – UMNO yakin kerusi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) susulan tindakan enam ahli parti itu memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kepimpinan UMNO di enam bahagian terbabit antaranya Jeli, Gua Musang, Tanjong Karang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar dan Labuan perlu memantapkan jentera masing-masing.

Katanya, keenam-enam kawasan Parlimen tersebut merupakan kawasan BN dan UMNO yang diletakkan calon pada PRU15 lalu.

"UMNO bukan ingin menangguk air yang keruh, namun situasi porak-peranda Bersatu di kawasan tersebut perlu diambil peluang untuk parti merampas kembali kerusi-kerusi tersebut.

“Walaupun masih jauh PRU16, tidak salah untuk kita menyusun jentera dari awal.

"Ia penting bagi memastikan BN dan UMNO dapat menambat semula hati pengundi di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi Tadika Agama Johor Daerah Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Ahmad (berjalan tengah, kanan) disambut oleh persembahan silat semasa hadir pada Majlis Apresiasi Tadika Agama Johor Daerah Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian pada Ahad.
Ahmad (berjalan tengah, kanan) disambut oleh persembahan silat semasa hadir pada Majlis Apresiasi Tadika Agama Johor Daerah Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian itu turut menjangkakan mereka yang telah memberikan sokongan kepada Perdana Menteri tidak akan dicalonkan semula oleh Bersatu pada PRU16 nanti.

“Situasi ini merupakan kesempatan terbaik kepada BN dan UMNO untuk mengenal pasti calon-calon yang boleh diketengahkan bagi memberikan cabaran kepada calon daripada pihak pembangkang,” ujarnya.

Ahmad turut berpandangan sokongan terbuka ahli-ahli Parlimen Bersatu menunjukkan mereka kini berhadapan dengan krisis kepercayaan kepada Presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam masa sama ujarnya, mereka amat memerlukan peruntukan bagi menjalankan pelbagai aktiviti pembangunan, ekonomi dan kemasyarakatan kepada pengundi di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dalam sidang akhbar pada Jumaat menyatakan 10 lagi ahli Parlimen Bersatu akan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini enam ahli Parlimen Bersatu telah menyatakan sokongan kepada Anwar termasuk Syed Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kecik (Jeli), Mohd Aziz Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Terbaharu Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi pada 24 Januari lalu.