Sindiket edar dadah di Johor tumpas

Kamarudin (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan berkenaan.
Kamarudin (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah susulan tertangkapnya dua pembekal dadah melibatkan rampasan bernilai RM287,960 di sekitar bandar raya ini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 35 dan 31 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan melibatkan unit pangsapuri di Johor Jaya dan Taman Setia Indah.

Berdasarkan hasil siasatan awal menurutnya, polis percaya kesemua dadah yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan tertumpu kepada kelab-kelab malam dan pusat hiburan.

“Pada serbuan di Johor Jaya iaitu pada jam 10 pagi, kita telah menyerbu sebuah pangsapuri yang turut membawa kepada penahanan seorang suspek berusia 31 tahun dan hasil pemeriksaan di premis tersebut kemudiannya menemui pelbagai jenis dadah iaitu ekstasi (5,570 biji), serbuk ekstasi (286.8 gram), ketamin (1.346 gram), erimin 5 (600 biji) dan 200 batang rokok ganja dianggarkan bernilai RM265,360.

“Kita juga turut bertindak merampas sebuah kereta jenis BMW, tiga bentuk cincin, wang tunai RM2,000 dan SGD200,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Kamarudin berkata, serbuan kedua pada jam 9 malam pula dilakukan di sebuah pangsapuri di Taman Setia Indah yang membawa kepada penahanan suspek berusia 35 tahun dan penemuan dadah berjumlah kira-kira RM22,600.

“Pemeriksaan mendapati suspek menyimpan sejumlah dadah berupa pil eramin 5 (250 biji) dan pil ekstasi (36 biji), selain beberapa jenis dadah lain membabitkan serbuk ekstasi (65.17 gram), kokain (68.20 gram), ketamin (14.40 gram) dan ganja (59.09 gram),” katanya.

Selain itu, dalam serbuan di lokasi sama, polis juga bertindak merampas sebuah kereta jenis Honda Accord, dua utas jam tangan dan wang tunai bernilai RM3,000.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kedua-dua suspek ditahan itu bagaimanapun tidak mempunyai sebarang kaitan tetapi menggunakan modus operandi sama.

“Kebanyakan dadah ini juga kita tahu memang digunakan untuk berpesta, jadi penggunanya boleh berhibur dengan lebih lama. Kita percaya kedua-dua suspek ini juga telah bergerak aktif sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, semakan jenayah lampau bagaimanapun mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, bagaimanapun suspek berusia 35 tahun didapati positif dadah jenis amphetamine.

Katanya, kedua-dua suspek berkenaan akan menjalani perintah reman sehingga 8 Januari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.