Malaysia kemuka hujahan lisan di ICJ pada 22 Februari

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ditemui media selepas menghadiri Kenduri Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota pada Sabtu. Foto Bernama
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ditemui media selepas menghadiri Kenduri Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

REMBAU - Malaysia akan mengambil bahagian mengemukakan hujahan lisan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda berhubung kekejaman Israel terhadap Palestin pada 22 Feb nanti.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai negara yang menyokong kes dibawa Afrika Selatan terhadap Israel di bawah Konvensyen Genosid 1948, beliau sendiri akan membawa pendirian Malaysia mengenai perkara itu ke ICJ.

"Malaysia amat mengalu-alukan dan gembira dengan keputusan yang telah dibuat ICJ semalam yang turut menetapkan enam langkah sementara terhadap kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel sementara menunggu perbicaraan penuh.

"Langkah-langkah awal ini merupakan satu kemenangan bagi negara-negara yang mahu supaya kekejaman pembunuhan beramai-ramai oleh pihak rejim Zionis di Gaza tersebut dihentikan serta-merta.

"Di ICJ itu nanti, kita akan bawa suara Malaysia kerana kita merupakan negara pertama yang menyokong Afrika Selatan yang bawa kes ini di ICJ,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kenduri Rakyat DUN Kota di sini pada Sabtu.

Dalam keputusannya semalam, ICJ mengarahkan Israel melaksanakan enam langkah sementara, termasuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza, memastikan tenteranya tidak lagi melakukan sebarang tindakan genosid serta mencegah dan menghukum sebarang hasutan ke arah genosid.

Israel juga diarah membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza, menghalang pemusnahan dan memastikan pemeliharaan bukti yang berkaitan dengan dakwaan genosid dan mengemukakan laporan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambil dalam melaksanakan perintah berkenaan dalam tempoh sebulan.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berharap menerusi langkah sementara itu, Israel selaku negara yang menandatangani Konvensyen Genosid 1948 akan akur dengan keputusan ICJ tersebut.

Beliau turut berharap menerusi langkah sementara itu, bantuan kemanusiaan termasuk perubatan dan makanan dapat memasuki Gaza selepas ini sekali gus menamatkan derita penduduk Palestin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut menyatakan rasa gembiranya apabila rakan sejawatnya, Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock dalam kenyataannya mahu Israel mematuhi keputusan ICJ itu.

"Jerman yang merupakan sekutu terkuat Israel telah minta Israel akur dengan ketetapan sementara ini.

"Ia satu perkembangan baik, saya gembira beliau keluarkan kenyataan yang mengalu-alukan langkah-langkah sementara ini," katanya. - Bernama

@sinarharianonline

Malaysia kemuka hujahan lisan di ICJ pada 22 Februari #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Malaysia #ICJ #Palestin #Israel #Genosid #Mahkamah

Earned It (In the Style of Weeknd) [Karaoke Version] - Instrumental King