Dr Mahathir berhak tentukan pengganti Maszlee: Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SERDANG - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai hak untuk menentukan siapa yang akan menggantikan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu tertakluk kepada hak budi bicara Dr Mahathir selaku pemimpin nombor satu negara.

"Saya ingat dari segi konvensyen (untuk tentukan siapa pengganti) adalah kuasa budi bicara Perdana Menteri bagi mengisi kekosongan (Menteri Pendidikan).

"Tetapi perkara ini terserah kepada Perdana Menteri dan pimpinan Pakatan Harapan (PH), kalau hendak adakan perbincangan tetapi pada pendapat saya, kekosongan ini selalu diisi ikut budi bicara keputusan ditetapkan dulu (budi bicara Perdana Menteri)," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Emas Kepada Murid-murid Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Selangor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Dr Radzi Jidin yang mahukan jawatan Menteri Pendidikan dikekalkan milik parti itu.

Dalam pada itu ditanya mengenai masa depan Dr Maszlee dalam politik selepas membuat keputusan untuk meletak jawatan sebagai menteri Kabinet, Anwar berkata, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu tetap mempunyai harapan asalkan ada kesungguhan.

Katanya, selaku pemimpin yang masih muda, Dr Maszlee mempunyai peluang dan masa depan yang cerah untuk terus menyerlah dalam politik.

"Ada orang berhenti patah balik, Perdana Menteri, Dr Mahathir berhenti patah balik. Saya pun berhenti tetapi patah balik.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan soal (kita berhenti dan patah balik) tetapi ia adalah kesungguhan dan konsisten dalam perjuangan," katanya.

Anwar turut merakam penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dr Maszlee yang juga Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu atas jasa dan pengorbanan sepanjang perkhidmatan beliau.