'Kenapa keluar UMNO tidak rasa takut dihina, dicaci' - Puad Zarkashi

Mohd Puad
Mohd Puad
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan sikap tidak konsisten ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung tindakan keluar parti.

Jelasnya, kebanyakan ahli Parlimen daripada Bersatu yang pernah menyertai UMNO dan bertindak keluar parti itu, tidak malu bertindak sedemikian, sebaliknya apabila mereka keluar Bersatu timbul pula rasa malu dan takut.

"Ahli Parlimen Bukit Gantang (Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal) berkata, tidak mudah ahli Parlimen Bersatu beri sokongan pada Anwar Ibrahim (Datuk Seri) kerana mereka akan dicaci dan dihina oleh ahli parti. Sepatutnya mereka tidak rasa takut kerana ahli Bersatu di akar umbi tidak ramai. Cawangan pun boleh dibilang dengan jari.

"Kenapa masa tinggalkan UMNO dulu tidak timbul rasa takut dihina dan dicaci? Sedangkan ahli UMNO di akar umbi amat ramai," sinisnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, Syed Abu Hussin mengesahkan 10 lagi ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengumumkan sokongan terhadap Perdana Menteri.

Beliau mendakwa, mereka yang terlibat ialah lima ahli Parlimen dari Utara (Kedah, Perak dan Pulau Pinang), tiga dari negeri Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta dua dari Selangor dan Melaka.

Tambah Mohd Puad, kebanyakan ahli jawatankuasa masjid, surau dan badan bukan kerajaan (NGO), adalah ahli UMNO.

"Ke mana-mana pergi, mereka akan jumpa ahli UMNO. Tidak ada masalah pun. Tidak perlu takut dihina dan dicaci. Semoga lebih ramai ahli Parlimen Bersatu sokong Kerajaan Perpaduan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Parti Negara, Pas, Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bersatu antara parti yang muncul daripada ‘tulang rusuk’ UMNO.

Dalam pada itu kebanyakan pemimpin yang ada dalam Bersatu hari ini, pernah juga menjadi pemimpin dalam UMNO.