Kerajaan perlu timbang wajibkan pemain industri ambil pelajar TVET

Kerajaan dicadang mewajibkan pemain industri mengambil pelajar TVET untuk latihan industri. Gambar kecil: Ganes
Kerajaan dicadang mewajibkan pemain industri mengambil pelajar TVET untuk latihan industri. Gambar kecil: Ganes
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa mempertimbangkan untuk mewajibkan pemain industri termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengambil pelajar Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk penempatan latihan industri (OJT).

Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk Sri Ganes berkata, pemain industri ketika ini dilihat lebih cenderung mengambil pelajar universiti berbanding TVET.

Beliau berkata, terdapat beberapa tahap dalam pembelajaran TVET iaitu tahap satu selalunya diabaikan kerana tidak lagi relevan kepada industri.

"Bermula dengan tahap dua dan tahap seterusnya, mereka ini perlu menjalani latihan industri supaya dapat melengkapkan komponen pembelajaran masing-masing.

"Mereka tidak boleh bergantung kepada teori dan peperiksaan sahaja, sebaliknya perlu menjalani latihan industri bagi mengiktiraf serta menguji kebolehan mereka.

"Namun disebabkan tidak wajib, pemain industri lebih gemar mengambil pelajar universiti dan menyebabkan pelajar TVET tidak diberi peluang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sri Ganes yang juga Pengerusi SG Education Group Berhad berkata, graduan TVET khususnya dalam bidang berkaitan kenderaan elektrik (EV) dan dron dilihat mendahului graduan bidang lain berikutan kebolehpasaran yang tinggi.

Kata beliau, TVET disifatkan sebagai satu 'kuasa baharu' yang mampu melahirkan tenaga mahir serta menjana keuntungan berlipat ganda kepada negara.

Artikel Berkaitan:

"Perkembangan terkini, melalui dron dan EV di dalam TVET boleh menjana pendapatan yang besar serta berpotensi sebagai program berimpak tinggi," ujarnya.

Jelas beliau, kursus pendidikan dron dilihat bukan sahaja semakin popular malah ada individu yang mahu menjadikan dron sebagai sebuah prospek kerjaya baharu.

Katanya, dron banyak memberi manfaat di dalam kehidupan seharian termasuk bidang penerbangan, hiburan, pertanian, perubatan, industri pembinaan, pertahanan serta ketenteraan awam.

Tambahnya lagi, pendidikan EV pula mempunyai ekosistemnya yang tersendiri.

"Pendidikan yang bersifat mikro itu telah membentuk tenaga mahir dari sudut penghasilan bateri, produk yang berasaskan bateri, penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berkaitan dengan bateri, pelupusan bateri dan juga material pembinaan kereta EV," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, tumpuan terhadap tenaga mahir perlu diterapkan dengan program-program peningkatan kemahiran serta latihan semula bagi memantapkan lagi kemahiran pelajar dalam EV dan dron.

"Hasil usaha kerajaan serta pihak swasta yang mempergiatkan kursus pendidikan berkaitan EV dan dron berjaya melahirkan graduan dan tenaga mahir TVET yang berimpak tinggi, seterusnya memberi sumbangan kepakaran dalam bidang berkenaan dalam industri sebenar.

"Selaras dengan TVET Madani, apa yang kita perlu lakukan adalah memberi fokus kepada tenaga mahir sedia ada bagi menghasilkan keputusan cepat yang jauh lebih besar.

"Ia akan mempercepatkan proses permintaan pihak industri EV dan dron negara, biarpun pelajar TVET masih dalam proses pembelajaran di pusat pendidikan masing-masing," jelasnya.